Pas bukan tak kenang budi Kerajaan Persekutuan

Cuma belum puas hati kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan belum terlaksana seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra

KOTA BHARU: Pas Kelantan tidak meletakkan semua salah kepada Kerajaan Pusat dengan kemunduran negeri berkenaan jika dibandingkan dengan negeri lain.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebaliknya menegaskan, banyak perkara yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan untuk Kelantan disambut baik rakyat negeri itu dan Kerajaan Negeri turut berterima kasih atas apa yang dilakukan.

”Kita bukan hendak menyalahkan tapi hendak perbetulkan. Kita, termasuk MB juga berterima kasih atas pembangunan dan peruntukan yang diterima.

”Cuma belum puas hati kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan belum terlaksana seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Selain itu, pembinaan Lebuh Raya Rakyat dari Gua Musang ke Kuala Krai juga belum dijalankan sepenuhnya.

Mohd Amar mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam yang kecewa dengan sikap Pas Kelantan kerana sering menjadikan Kerajaan Pusat sebagai ‘kambing hitam’ setiap kali isu pembangunan negeri disentuh.

Mustapa yang juga ADUN Ayer Lanas menegaskan, Kerajaan Pusat sudah memberi pelbagai peruntukan kepada Kelantan dalam usaha memastikan negeri itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Kategori
BeritaNasional