Najib Umum Pelbagai Inisiatif Untuk Pesara Tentera

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan sejumlah RM5 juta akan diberikan kepada Tabung Pahlawan bagi menghargai sumbangan dan jasa golongan perajurit yang berjuang demi mempertahankan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan sejumlah RM5 juta akan diberikan kepada Tabung Pahlawan bagi menghargai sumbangan dan jasa golongan perajurit yang berjuang demi mempertahankan negara. 

Katanya, peruntukan itu menjadikan jumlah kutipan untuk kempen Tabung Pahlawan pada tahun ini sebagai yang tertinggi, adalah bukti bahawa kerajaan sentiasa peka dengan kebajikan golongan pejuang tanah air.

“Sempena Hari Pahlawan yang jatuhnya pada hari ini, saya turut mengambil peluang untuk  melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2017.

“Tahun lepas  sebanyak RM4.65 juta dikumpul, maka untuk pastikan bahawa tahun ini kutipan lebih besar dan menjadikan kutipan tahun ini paling tinggi dalam sejarah, maka kerajaan tambah peruntukan sebanyak RM5 juta ke Tabung Pahlawan 2017.

“Inilah kesunguhan kerajaan untuk membela tuan-tuan dan puan-puan,”katanya sewaktu berucap di Perhimpunan Veteran ATM 2017 di Pusat Pameran dan Persidangan Antarabangsa Malaysia Mines, petang tadi. 

Pengumuman itu disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan ribuan veteran ATM yang hadir.

Di samping peruntukan berkenaan, Najib turut mengumumkan lima lagi inisiatif kepada veteran ATM demi menjaga kebajikan golongan berkenaan.

“Sebab  itu hari ini saya datang bukan sebarang datang. Saya datang untuk memperlihatkan kerajaan hari ini bukan sekadar mengungkapkan di bibir saja tapi saya akan umum pakej untuk veteran,” katanya. 

Salah satu daripada lima inisiatif tersebut adalah Bantuan Bakti Negara (BBN) bagi menghargai jasa veteran ATM tidak berpencen, yang mana ia merupakan bantuan tahunan untuk membantu mereka meningkatkan tahap sosioekonomi. 

“Pada asasnya syarat penerima BBN adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), iaitu mereka yang berada di bawah kelompok B40.

 “Sebanyak RM1,200 akan diberikan kepada veteran ATM Tidak Berpencen berdasarkan senarai BR1M. Bagi Veteran Tidak Berpencen yang bukan penerima BR1M pula, mereka akan menerima RM600 dengan syarat sudah berumur 60 tahun ke atas,” kata Najib.  

Inisiatif kedua adalah Skim Anuiti Veteran (SAVe), di mana terhasil dari caruman kerajaan yang telah dilaburkan bagi memberi manfaat bulanan kepada bakal Veteran Tidak Berpencen.

“Inisiatif ketiga adalah penambahbaikan terhadap Skim Pencen Hilang Upaya bagi Veteran ATM dan bekas anggota wataniah sepenuh masa, yang mana mereka berkhidmat kurang daripada 10 tahun serta tidak menerima pencen perkhidmatan. 

“Para veteran ATM yang tergolong dalam kategori ini akan mendapat kenaikan kadar pencen bermula antara 300 peratus hingga 800 peratus untuk pembayaran pencen mereka. Ia melibatkan nilai minima dari RM500 hingga nilai maksimum berjumlah RM2000,” kata Najib.

Inisiatif keempat adalah bagi veteran kelainan upaya di mana sebanyak RM500 ditambah, untuk menjadikan jumlah keseluruhan insentif ini berjumlah RM1000.

Kerajaan juga kata Najib, akan menambahkan kouta mengerjakan ibadah haji bagi veteran ATM sebagai inisiatif kelima, menjadikan kouta meningkat kepada 400 orang pada tahun ini berbanding hanya 100 orang pada tahun sebelumnya.  

“Kita akan buat pengumuman tambahan termasuk projek perumahan. Insya-Allah dua tiga bulan akan datang kita lancarkan program khas kepada sama ada yang masih berkhidmat atau pencen untuk miliki rumah mampu milik,” kata Najib.

Kategori
NasionalUtama