Mustapa Akan Ketuai Misi Dagangan Ke Arab Saudi, Turki

Program di Arab Saudi termasuk perbincangan intensif sebagai susulan daripada pelbagai keputusan yang telah dipersetujui kedua-dua kerajaan dan sektor swasta semasa lawatan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia pada Februari lepas

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Arab Saudi dan Turki mulai 25 hingga 28 September 2017.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata, misi itu akan terdiri daripada 10 pegawai daripada kementerian tersebut dan agensinya serta 20 ahli perniagaan daripada 12 organisasi.

Katanya, misi yang akan meliputi Riyard dan Jeddah di Arab Saudi serta Istanbul di Tuki itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala dengan negara terbabit.

“Program di Arab Saudi termasuk perbincangan intensif sebagai susulan daripada pelbagai keputusan yang telah dipersetujui kedua-dua kerajaan dan sektor swasta semasa lawatan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia pada Februari lepas,” katanya.

Miti berkata, Mustapa dijadual menemui rakan sejawatnya Menteri Perdagangan dan Pelaburan serta Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Galian dan Menteri Ekonomi dan Perancangan semasa lawatannya ke Riyadh.

Di Turki, Miti berkata, Mustapa akan menemui menteri ekonomi negara itu bagi membincangkan perluasan skop di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki yang dikuatkuasa pada 2015.

“Selain menemui pegawai kerajaan, Mustapa akan terbabit dengan dewan perniagaan dan industri tempatan serta tokoh penting komuniti perniagaan Arab Saudi dan Turki  bagi mempromosi Malaysia sebagai rakan kongsi perdagangan dan pelaburan yang ideal,” katanya.

Tahun lepas, Malaysia mencatat perdagangan berjumlah RM13.99 bilion (AS$3.37 bilion) dengan Arab Saudi, meningkat 27.8 peratus daripada RM10.95 bilion (AS$2.82 bilion) pada 2015 manakala bagi tempoh Januari-Julai 2017, jumlah dagangan antara Malaysia dan Arab Saudi meningkat 17 peratus kepada RM8.38 bilion (AS$1.91 bilion) daripada RM7.16 bilion (AS$1.75 bilion) dalam tempoh yang sama 2016.

Dengan Turki pula Malaysia mencatat perdagangan dua hala bernilai RM8.42 bilion (AS$2.02 bilion) tahun lalu, meningkat 50.2 peratus daripada RM5.61 bilion (AS$1.43 bilion) pada 2015. Manakala bagi tempoh Januari-Julai 2017, jumlah dagangan antara Malaysia dan Turki meningkat 64.2 peratus kepada RM7.07 bilion (AS$1.62 bilion) daripada RM4.31 bilion (AS$1.05 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2016. –Bernama

Kategori
BeritaEkonomiNasional