Miliki imej kertas soalan UPSR dalam telefon bimbit, guru diperintah bela diri

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) AktaRahsia rasmi 1972 (Akta 88) yang memperuntukkan hukuman minimum setahun dan maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang guru lelaki membela diri terhadap tuduhan memiliki imej kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) secara tidak sah di dalam telefon bimbitnya pada 2014.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim, secara sebulat suara membatalkan pembebasan, P. Murugan, 36, seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lenggeng di Nilai, Negeri Sembilan.

“Kami berpendapat ada merit dalam rayuan pihak pendakwaan. Kami berpendapat hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya membebas dan melepaskan Murugan (di akhir kes pendakwaan),” kata Mohd Zawawi.

Beliau kemudian menetapkan 24 Okt ini untuk sebutan kes di hadapan hakim baharu di Mahkamah Sesyen Seremban.

Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu mahkamah bahawa hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh yang membuat keputusan melepas dan membebaskan Murugan telah bersara dan kes tersebut perlu didengar di hadapan hakim baharu.

Murugan, yang digantung kerja sejak didakwa pada 2014, dituduh memiliki kertas soalan Matematik 015/1 antara jam 12.15 tengah malam 8 Sept dan 17 Sept 2014 melalui seunit telefon pintar di sebuah rumah di Taman Sri Mawar, Mantin, Negeri Sembilan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) AktaRahsia rasmi 1972 (Akta 88) yang memperuntukkan hukuman minimum setahun dan maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 2015, Mahkamah Sesyen Seremban membebaskan Murugan tanpa memanggil bela diri dan kemudian Mahkamah Tinggi pada September tahun lepas mengekalkan keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan itu.

Terdahulu, Awang Armadajaya berhujah walaupun Murugan mendakwa dia hanya menerima dokumen-dokumen itu tetapi telah menghantar imej-imej kertas soalan itu kepada anak muridnya namun ia adalah satu kesalahan di bawah OSA untuk menyebarkan dokumen rahsia.

Peguam, Haresh Mahadevan, yang mewakili Murugan, berhujah bahawa imej dalam Whatsapp yang didakwa mengandungi dokumen yang diklasifikasikan itu tidak menunjukkan bahawa dokumen itu dimaksudkan untuk sebuah peperiksaan yang belum diadakan.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional