Malaysia-Qatar tandatangani empat MoU

MoU pertama melibatkan kerjasama latihan diplomat ditandatangani Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani

PUTRAJAYA: Malaysia dan Qatar hari ini menandatangani empat perjanjian persefahaman (MoU) dalam mempertingkatkan kerjasama dua hala kedua-dua negara.

Majlis menandatangani empat MoU itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani di Seri Perdana, di sini.

Empat MoU itu ialah kerjasama dalam bidang latihan diplomat, kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, kerjasama aktiviti perundangan dan kerjasama kehakiman.

MoU pertama melibatkan kerjasama latihan diplomat ditandatangani Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani.

Kedua-dua Menteri Luar itu turut menandatangani MoU kedua berkenaan kerjasama dalam bidang pengajian tinggi.

Selain itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bersama Sheikh Mohammed Abdulrahman menandatangani MoU berkaitan kerjasama perundangan.

Sementara, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dan rakan sejawatnya Presiden Majlis Kehakiman Tertinggi Qatar, Masoud Mohamed A Amiri menandatangani kerjasama dari segi kehakiman.

Kategori
BeritaEkonomiNasional