Malaysia kutuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara

Selain itu, ia turut menjejaskan rejim sejagat mengenai pelucutan dan ketakcambahan senjata nuklear.

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu lagi pencabulan jelas terhadap pelbagai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Selain itu, ia turut menjejaskan rejim sejagat mengenai pelucutan dan ketakcambahan senjata nuklear.

Wisma Putra, dalam kenyataan malam tadi, berkata Malaysia menyuarakan kebimbingan yang serius berikutan peluru balistik sekali lagi telah merentasi wilayah berdaulat Jepun, sekali gus memberi ancaman secara langsung terhadap keselamatan negara tersebut.

“Tindakan provokasi sedemikian terus memudaratkan ketegangan yang sedia wujud di Semenanjung Korea dan rantau ini. Ia adalah adalah satu lagi tindakan yang menjejas usaha masyarakat antarabangsa dalam mencari penyelesaian muktamad dan keamanan berkekalan di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu.

Agensi berita China, Xinhua, pada Jumaat melaporkan bahawa tentera Amerika Syarikat dalam kenyataan menyebut bahawa ia telah mengesan pelancaran peluru berpandu balistik perantaraan jarak dekat berhampiran Sunan di Pyongyang, pada jam 11.57 pagi waktu Hawaii (2157 GMT).

Agensi berita itu memetik Pemerintah Tentera Amerika Syarikat di Pasifik sebagai berkata bahawa peluru berpandu itu melintasi bahagian utara Jepun sebelum mendarat di Lautan Pasifik di bahagian timur Jepun.

Justeru itu, Wisma Putra berkata Malaysia menyeru semua pihak, khususnya rejim Pyongyang mengambil suatu pendekatan yang lebih berwaspada dan juga menekankan kepentingan mewujudkan suasana kondusif bagi menyambung semula proses dialog dengan segera antara pihak berkaitan.

“Malaysia kecewa dengan tindakan Korea Utara menentang gesaan masyarakat antarabangsa supaya rejim Pyongyang meneroka penyelesaian secara aman dalam menangani situasi di Semenanjung Korea,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, Malaysia dengan tegas menggesa Korea Utara supaya menghentikan sebarang pelancaran peluru balistik, menamatkan program nuklear dan peluru balistik serta mematuhi sepenuhnya obligasi negara tersebut seperti termaktub dalam resolusi UNSC demi memelihara keamaan dan keselamatan antarabangsa.

— BERNAMA

Kategori
BeritaDuniaNasional