MAIPK bakal perkenal manual pengurusan kubur Islam

Katanya, pelbagai aspek perlu diteliti kerana sesetengah tanah perkuburan telah diwakafkan serta diwarisi pengurusannya melibatkan beberapa lapisan generasi.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bakal melaksanakan manual pengurusan tanah perkuburan Islam tahun depan bagi panduan Jawatankuasa Pengurusan Kubur di kariah masjid masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Amiruddin Muhamed berkata manual atau prosedur operasi standard itu mengambil contoh pengurusan tanah kubur yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kini dalam peringkat akhir untuk disiapkan.

Katanya, pelbagai aspek perlu diteliti kerana sesetengah tanah perkuburan telah diwakafkan serta diwarisi pengurusannya melibatkan beberapa lapisan generasi.

“Sudah tiba masanya untuk kita membuat satu manual perkuburan. Kita tidak mahu pada suatu hari nanti, disebabkan tiada sesuatu peraturan tetap, ada yang mengenakan caj pengebumian tinggi sehingga RM4,000 atau RM5,000.

“Kita tidak mahu urusan pengebumian ini dikomersialkan dan memberikan suatu kegiatan ekonomi. Kita tidak mahu tanah perkuburan ini dimiliki oleh individu atau pertubuhan tertentu yang menguruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan agihan wakaf saraan kubur kepada lapan Jawatankuasa Pengurusan Kubur dengan jumlah keseluruhan agihan bernilai RM75,896 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional