Kementerian Kesihatan nafi sokong peniaga pendakap gigi palsu

Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada 29 September lalu menjatuhkan hukuman denda RM70,000 terhadap Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, dari Alor Setar, Kedah atas tuduhan menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen di Bukit Katil, Januari lalu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan sokongan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan perniagaan pendakap gigi palsu.

Dalam satu kenyataan media oleh Setiausaha Sulit Kanan Aziaan Ariffin berkata pihaknya termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan mana-mana anggota pentadbiran tidak pernah menyokong dan tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar peraturan negara.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah atas kesalahan menjalankan perkhidmatan pergigian tanpa tauliah memuat naik status di Instagram bahawa perniagaannya mendapat sokongan pihak kementerian.

Netizen turut mengecam tindakan kumpulan yang dikenali sebagai ‘Dragon 76’ yang membela peniaga pendakap gigi palsu berkenaan dan mendakwa dia dianiaya oleh golongan doktor.

Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada 29 September lalu menjatuhkan hukuman denda RM70,000 terhadap Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, dari Alor Setar, Kedah atas tuduhan menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen di Bukit Katil, Januari lalu.

Mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan pesakit kerana proses menjalankan pendakap gigi hanya boleh dilakukan doktor bertauliah.

Walau bagaimanapun, Nur Farhanis telah dibebaskan dengan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatu Penggiat Ekonomi Malaysia (PPEM) yang membaca kes di media dan memutuskan untuk mengutip derma bagi membayar denda tersebut.

 

Kategori
BeritaNasional