Jamal minta maaf, tak jadi jual ikan

Apalah, nak jual ikan pun nak kena tangkap, penat masuk lokap,

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memohon maaf kerana tidak hadir ke himpunan antikleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya hari ini.

Jamal, melalui satu kenyatan yang dikongsikan pembantunya berkata ia ekoran desakan pihak berkuasa yang diterima pemimpin Baju Merah itu.

“Untuk makluman, Datuk Seri mohon maaf kepada semua sahabat media, NGO dan penyokong-penyokong kerana tidak dapat turun ke Padang Timur, Petaling Jaya, hari ini.

“Ini di sebabkan oleh desakan pihak berkuasa yang diterima supaya tidak menghadirkan diri ke lokasi yang diumumkan beberapa kali hari ini walaupun ikan-ikan yang telah disediakan sudah siap untuk jualan di sana.

“Datuk Seri maklum dengan arahan pihak berkuasa yang diterima. Baru keluar dari lokap minggu lepas dah nak dimasukan balik minggu ini,” kata pembantu Jamal dalam mesej ringkas kepada media.

Manakala, Jamal yang juga ketua gerakan Baju Merah itu turut menyatakan rasa kesalnya kerana tidak dapat menjual ikan-ikannya.

“Apalah, nak jual ikan pun nak kena tangkap, penat masuk lokap,” kata Jamal melalui mesej Whatsapp.

Sepanjang hari, kehadirannya ditunggu-tunggu namun sehingga petang, beliau masih tidak kelihatan di himpunan itu.

Jamal sebelum ini merancang untuk membuka kedai menjual ikan di himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya.

Himpunan itu dianjurkan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sekitar petang tadi, Presiden Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria yang sentiasa bersama Jamal kelihatan berada di Amcorp Mall, berhampiran padang, bersama-sama dua yang lain.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Petaling Jaya dan polis memberi amaran kepada ahli politik kontroversi itu untuk tidak masuk campur dalam himpunan itu.

 

Kategori
BeritaNasionalPolitik