Isteri PM Beri Sumbangan RM1.6 Juta Kepada Tahfiz Ittifaqiyah

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hari ini menerima sumbangan sebanyak RM1.6 juta, daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri­-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia dan seorang individu yang enggan dikenali.

 

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hari ini menerima sumbangan sebanyak RM1.6 juta, daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri­-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia dan seorang individu yang enggan dikenali.

Daripada sejumlah sumbangan RM288,000 oleh BAKTI dan Tabung Kesejahteraan dan Kanak-Kanak setiap waris yang kehilangan ahli keluarga menerima sumbangan RM10,000, pelajar yang mengalami kecederaan (RM6,000) dan pelajar terselamat (RM2,000).

Selebihnya iaitu RM1.3 juta sumbangan daripada individu yang enggan dikenali, RM50,000 diberikan kepada setiap waris yang kehilangan ahli keluarga; pelajar cedera (RM20,000) dan pelajar selamat (RM5,000).

Sumbangan berkenaan disampaikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang berlangsung di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya pagi tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang meluangkan masa kira-kira 15 minit dengan keluarga mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi 14 September lalu, 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz berkenaan terkorban dalam kebakaran selepas terperangkap di tingkat tiga banglo berkenaan yang menempatkan asrama pelajar.

Rosmah berkata, pihaknya berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mereka yang terbabit dalam tragedi itu.

“Hakikatnya, saya sedar sumbangan itu tidak akan sama nilainya jika dibandingkan dengan apa yang telah dilalui waris terutama yang kehilangan insan tersayang, jauh sekali ia dapat menyamai nilai nyawa yang tiada galang ganti.

“Semoga semua yang terbabit bersabar menghadapi dugaan ini,” katanya.

 

 

Kategori
Nasional