Impian Malaysia lakar pencapaian terbaik Sukan SEA jadi kenyataan

Sebelum temasya dwitahunan ini menutup tirai esok malam, tujuh lagi pingat emas akan ditawarkan dan Malaysia sudah hampir pasti mendominasi dua acara terakhir terjun selain bakal memberikan saingan sengit dalam luncur ais yang menawarkan empat pingat emas.

KUALA LUMPUR: Tiada istilah selesa bagi kontinjen Malaysia dengan atlet seni pertahanan diri dan pelayar muda negara termasuk Adam Yoong Hanifah yang hanya berusia sembilan tahun tampil menyinar pada hari kedua terakhir Sukan SEA Ke-29 untuk melakarkan pencapaian paling cemerlang.

Mencapai sasaran 111 pingat emas semalam, tiada kompromi di pihak tuan rumah dengan mencatatkan pungutan emas harian terbanyak iaitu 29 untuk mendahului dengan angka mengagumkan 140 pingat emas setakat ini iaitu pencapaian terbaik dalam Sukan SEA.

Tetapi hari ini berakhir dengan penuh duka buat tuan rumah apabila gol sendiri dijaringkan penjaga gol Haziq Nadzli memberikan kemenangan 1-0 kepada Thailand untuk ibu segala pingat, dengan mengulangi sejarah mereka pada final Sukan SEA 2001 yang Malaysia juga adalah tuan rumah.

Hatrik dicapai pasukan bola sepak mereka itu telah menceriakan kem Thailand, juara keseluruhan Sukan SEA 2015, yang agak suram susulan hanya berada di tempat kedua dengan 70 emas diikuti Vietnam 58, Singapura 57, Indonesia 38, Filipina 24, Myanmar tujuh, Kemboja tiga dan Loas dua.

Sebelum temasya dwitahunan ini menutup tirai esok malam, tujuh lagi pingat emas akan ditawarkan dan Malaysia sudah hampir pasti mendominasi dua acara terakhir terjun selain bakal memberikan saingan sengit dalam luncur ais yang menawarkan empat pingat emas.

Meneruskan penguasaan mereka di Velodrome Nasional di Nilai, Malaysia meraih lima lagi emas yang diterajui pemenang pingat gangsa Olimpik dan juara keirin dunia Azizulhasni Awang yang mengenakan jersi sama yang dipakai semasa muncul juara dunia untuk mempertahan pingat emas dalam temasya ini manakala perak menjadi milik rakan sepasukan Mohd Shariz Efendi Mohd Shahrin.

Pelumba basikal wanita negara Fatehah Mustapa pula memecahkan rekod kebangsaan miliknya untuk meraih emas kedua temasya dalam 500m Ujian Masa Wanita dengan merekodkan 34.52s iaitu 0.125s lebih pantas daripada yang dicatatnya pada Sukan Komanwel Glasgow 2014, untuk mengatasi cabaran pelumba Indonesia Crismonita Dwi Putri dan Santia Tri Kusuma.

Fatehah kembali semula ke velodrome pada petangnya untuk membantu rakan sepasukan Farina Shawati Mohd Adnan menjulang gelaran keirin.

Muhammad Fadhil Mohd Zonis turut meraih emas keduanya selepas mengungguli 1km Ujian Masa Lelaki dengan catatan masa 1:01.889s untuk mengatasi rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di tempat kedua dengan 1:02.356s.

Dalam pencak silat, Malaysia meraih tujuh emas dengan Muhammad Faizul Nasir dan Mohd Al Jufferi Jamari mempertahankan gelaran dalam acara Tanding Lelaki Kelas B (50kg-55kg) dan Kelas E (65kg-70kg).

Pemenang lain ialah Razak Ghazali yang mengalahkan pemenang terdahulu Pornteb Pool Kaew daripada Thailand untuk emas dalam Tanding Lelaki Kelas D (60-65kg), Mohd Fauzi Khalid (Kelas F 70-75kg), Muhammad Robial Sobri (Kelas H 80kg-85kg) dan pesilat wanita Siti Rahmah Mohmed Nasir (Kelas E 65kg-70kg) dan Siti Shawana Ajak mengekalkan emas Kelas D (60kg-65kg) untuk Malaysia yang dimenangi Siti Rahmah di Singapura.

Seperti dijangkakan penerjun Malaysia jelas bukan tandingan kepada lawan mereka dengan mengungguli tiga lagi acara terjun di Pusat Akuatik Nasional sebelum ia berakhir esok dengan pertandingan 10m seirama lelaki dan wanita.

Dalam acara 3m papan anjal seirama, Nur Dhabitah Sabri yang bergandingan dengan Ng Yan Yee merangkul emas dengan mengumpul 304,71 mata mengatasi gandingan Singapura Ashlee Tan Yi Xuan dan Fong Kay Yian di tempat kedua dengan 236.76 mata.

Ahmad Amsyar Azman dan Chew Yiwei menguasai acara lelaki sebelum Leong Mun Yee dan gandingan baharunya Jellson Jabilin yang berusia 16 tahun menyumbangkan pingat emas ketiga dalam acara 10m platform campuran seirama untuk membolehkan Malaysia merangkul 11 daripada 13 emas dalam acara terjun setakat ini.

Adik beradik Hanifah menyumbang tiga emas hari ini. Aaliyah Yoong meningkatkan pungutan pingat emas peribadinya kepada tiga, sebagai tambahan pingat emas yang dipertahankannya dalam acara jumping dan tricks individu wanita tiga hari lepas selain pingat perak dalam acara slalom.

Terpaksa beraksi dalam keadaan tidak sihat dan demam, pelayar berumur 14 tahun itu melakukan catatan 32.6m dalam acara jumping untuk mengatasi pemenang terdahulu Rossi Amir daripada Indonesia dengan 30.8m untuk pingat perak.

Aaliyah, yang adiknya Aiden dan Adam turut membuat penampilan dalam temasya ini, jelas bukan tandingan dalam acara tricks dengan mengumpul 5,880 mata berbanding pemenang pingat perak Sabelle Kee daripada Singapura dengan sekadar 3,450 mata.

Walaupun hanya berumur sembilan tahun Adam membuktikan kehebatannya dalam acara tricks, memenangi emas dengan 3,860 mata untuk mengetepikan pesaing daripada Indonesia yang jauh lebih berusia Dimas Ridho Suprihono untuk perak dengan 3,440 mata dan gangsa menjadi milik Fabrianto Kadir dengan 3,140 mata.

“”Saya sungguh gembira dengan kemenangan ini. Saya berusaha melakukan sebaik mungkin yang saya terdaya … terima kasih atas semua sokongan dan saya akan terus berusaha melakukan yang terbaik di masa depan,” kata Adam kepada pemberita kemudiannya.

Di Langkawi, acara pelayaran Optimist menyaksikan dua pelayar muda Malaysia Nurul Shazwanie Mohd Saad mengungguli acara wanita dan Muhammad Fauzi Kaman Shah dalam acara lelaki sebelum abangnya Ahmad Latif Khan memenangi emas dalam acara Laser Radial lelaki.

Malaysia meraih dua daripada lima emas dalam acara Muay menerusi Ain Kamarruddin dalam kategori 54kg-57kg dan Mohd Ali Yaakub dalam Kelas 51kg-54kg.

Malaysia hanya meraih satu pingat emas dalam badminton menerusi Goh Jin Wei, 17, yang mengalahkan pemain lebih berpengalaman Soniia Cheah 21-11, 21-10 dalam final perseorangan wanita. Beregu campuran Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tumpas kepada beregu Thailand Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattananchai 15-22. 20-22.

Empat lagi pingat emas disumbangkan Anja Chong dalam acara 500m short track speed race luncur ais wanita, pasukan polo lelaki mengalahkan Thailand 9-8 dalam final, pasukan hoki lelaki mempertahankan gelaran dengan menewaskan Myanmar 14-0 dan sepak takraw memenangi emas acara regu sepusingan.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasionalSukan