Idris dilantik bantu FGV

Beliau juga sebelum ini merupakan antara individu yang dilantik di dalam pasukan pemulihan Proton Holdings Bhd. (Proton) untuk membantu syarikat kereta itu mencari rakan strategik antarabangsa.

KUALA LUMPUR 7 Jun – Datuk Seri Idris Jala dilantik oleh kerajaan untuk membantu Felda Global Ventures Hold­ings Bhd. (FGV) bagi mencari penyelesaian berhubung isu arahan bercuti kepada empat pengurusan kanannya termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (CEO), Datuk Zakaria Arshad.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), Idris akan berperanan sebagai pi­hak bebas bagi menyu­sun serta menyediakan fakta mengenai arahan bercuti kepada Zakaria dan tiga lagi pengurusan kanan syarikat, dan seterusnya memberi cadangan kepada FGV berhubung perkara tersebut.

Pelantikan itu dibuat setelah perbincangan yang diadakan dengan pihak-pihak yang berkepen­tingan termasuk pemegang sa­ham terbesar FGV, Lembaga Ke­ma­juan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV sendiri, menurut PMO.

“Kesemua pihak berkepenti­ngan bersetuju dengan Idris. Mereka yang terlibat di dalam perbincangan ini ialah Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Sa­mad, Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Zakaria dan Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha,” jelas PMO dalam kenyataan hari ini.

Pengumuman itu adalah berikutan keputusan Lembaga Pengarah FGV yang mengarahkan empat pe­ngurusan kanannya FGV itu bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan berhubung dakwaan salah­ laku urus niaga oleh syarikat perladangan itu.

Idris yang juga merupakan bekas Pre­siden dan CEO Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), mempunyai pengalaman luas di dalam bidang tadbir urus korporat serta pemulihan syarikat termasuk ketika menge­tuai syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS).

Beliau juga sebelum ini merupakan antara individu yang dilantik di dalam pasukan pemulihan Proton Holdings Bhd. (Proton) untuk membantu syarikat kereta itu mencari rakan strategik antarabangsa.

Sementara itu, saham Felda Global Venture Holdings Bhd. (FGV) kembali meningkat lebih 2.47 peratus atau 0.040 sen hari ini selepas menyusut 6.36 peratus semalam.

Kategori
BeritaEkonomiNasional