Dakwaan miliki RM230 juta, TPM Zahid sedia disiasat SPRM

Justeru, katanya, tidak menjadi kesalahan sekiranya beliau memiliki wang, dan sebarang harta yang dimilikinya ketika itu diperoleh dengan cara halal dan tidak melanggar undang-undang.

BALING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan kesediaannya untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan memiliki wang tunai bernilai RM230 juta pada tahun 1996.

TPM Ahmad Zahid berkata beliau yang memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO ketika itu menegaskan beliau tidak memiliki sebarang jawatan dalam kerajaan dan merupakan ahli perniagaan yang berjaya dalam bidang korporat.

Justeru, katanya, tidak menjadi kesalahan sekiranya beliau memiliki wang, dan sebarang harta yang dimilikinya ketika itu diperoleh dengan cara halal dan tidak melanggar undang-undang.

“Beliau minta saya declare harta saya, ketika itu saya pemuda UMNO tidak ada jawatan dalam kerajaan. Saya ahli perniagaan ketika itu dan diberi peluang menjadi CEO sebuah syarikat tersenarai. Saya juga jadi pengerusi tiga lagi syarikat.

“Jawatan kerajaan saya cuma pengerusi BSN, itu saja. Kalau betul pun saya beroleh harta sebanyak itu dan bukan wang tunai, adalah tidak salah untuk saya berniaga kerana saya bukan pemegang jawatan atau anggota pentabiran dalam kerajaan,” kata Ahmad Zahid.

Justeru, beliau tidak gentar malah sedia menawarkan diri untuk disiasat oleh SPRM bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

Pada masa sama, beliau juga mencabar Tun Dr Mahathir agar menerima siasatan yang sama berhubung kekayaan beliau dan ahli keluarganya.

“Beliau mahu SPRM menyiasat kononnya saya ada wang tunai sebanyak itu. Saya dengan terbuka hati menawarkan diri untuk disiasat SPRM demi membetulkan persepsi dan pembohongan yang dilakukan oleh orang itu.

“Pada masa sama, saya minta juga supaya aset beliau dan keluarga beliau disiasat oleh SPRM. Ini bukan cabaran, cuma minta.

“Kalau hang bagi satu, aku bagi satu; hang bagi dua, aku bagi dua. Itu baru namanya transparent,” tambah TPM Ahmad Zahid.

TPM Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Baling 2017 di Dewan Kompleks Rakan Muda Batu 42 Pulai, Baling pada Sabtu.

Baru-baru ini Tun Mahathir mendakwa TPM Ahmad Zahid memiliki wang sebanyak RM230 juta dalam akaunnya ketika mengisytiharkan hartanya pada tahun 1996.

Namun Tun Dr Mahathir mengakui tidak memiliki bukti terhadap dakwaan itu.

Kategori
BeritaNasionalPolitik