Cabaran Elbrus sangat berisiko, syukur kami selamat pulang – Pendaki

Kesemua pendaki berada dalam keadaan yang baik dan sihat walaupun terpaksa menempuh cabaran yang sukar ketika pendakian pada 2 September lalu.
SEPANG: Kumpulan enam pendaki Kembara Srikandi Prihatin (KSP) yang telah berjaya menawan puncak gunung Elbrus di Rusia selamat tiba di tanah air menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Selain anggota keluarga dan sahabat handai, kumpulan terbabit turut disambut oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Presiden Persatuan Kembara Malaysia, Tan Sri Khalid Yunos.

Kesemua pendaki  berada dalam keadaan yang baik dan sihat walaupun terpaksa menempuh cabaran yang sukar ketika pendakian pada 2 September lalu.

Bukan itu sahaja, cuaca buruk serta terpaksa melakukan pendakian dalam keadaan suhu 15 darjah di bawah paras beku, hujan, salji serta banjir lumpur yang melanda memburukkan lagi misi pendakian mereka yang turut disertai oleh satu lagi kumpulan pendakian dari Malaysia iaitu Team One.

Menurut Ketua Kumpulan tersebut, Ummu Farahaidar Zulkifli, atas sebab risiko keselamatan berikutan cuaca buruk itu lima pendaki lain dari kumpulan itu terpaksa berpatah balik dan menyaksikan hanya beliau dan tujuh pendaki daripada Team One yang mampu meneruskan pendakian ke gunung yang berketinggian  5,642 meter itu.

“Berikutan faktor-faktor ini pemandu gunung dan juga penyelaras program kami membuat keputusan setelah melihatkan keadaan mereka untuk membawa mereka turun ke base camp kerana kami tidak berkompromi tentang keselamatan mereka. Ia adalah keputusan yang terpaksa diambil memandangkan cuaca yang buruk sepanjang pendakian.

“Pendakian juga terpaksa bergerak perlahan dan lebih buruk apabila banjir lumpur berlaku selepas pendakian menyebabkan bekalan makanan, gas dan elektrik terputus selepas selesai pendakian. Kami mengambil masa kira-kira sembilan jam untuk sampai ke puncak iaitu dua jam lewat daripada sepatutnya gara-gara cuaca teruk,” kata Ummu Farahaidar.

Lima lagi pendaki yang terlibat dalam ekspedisi tersebut ialah Fazilah Abdul Manan, bekas pesakit kanser Rene’e Aziz Ahmad, Nurul Huda Shamsuddin, Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Nir Azmin.

Gunung Elbrus merupakan salah satu gunung tertinggi di Eropah yang terletak di Rusia.

Kategori
BeritaNasionalSukan