Banjir Melaka: Jumlah Mangsa Meningkat 445 Orang

Seramai 23 mangsa dengan enam keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Agama JAIM Tanjung Minyak, manakala 68 mangsa dengan 13 keluarga kini berteduh di pusat pemindahan di Projek Perumahan Rakyat Krubong.

Jumlah mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 445 orang setakat petang tadi.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 141 orang berbanding hanya 304 mangsa pada tengah hari tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata dua lagi pusat pemindahan baru telah dibuka.

“Seramai 20 mangsa dari empat keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan yang baru dibuka di Pengkalan Batu,” katanya.

Sebuah lagi pusat pemindahan baru dibuka di Sekolah Kebangsaan Tehel di Jasin menempatkan seramai 24 mangsa dari lapan keluarga.

Effendy berkata jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdulah di Batu Berendam bertambah sebanyak tujuh orang iaitu kepada 247 orang melibatkan 60 keluarga.

Katanya jumlah mangsa di pusat pemindahan Balairaya Peringgit dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Paya Ikan masing-masing kekal 30 mangsa (12 keluarga) dan 33 mangsa (enam keluarga).

Beliau berkata seramai 23 mangsa dengan enam keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Agama JAIM Tanjung Minyak, manakala 68 mangsa  dengan 13 keluarga kini berteduh di pusat pemindahan di Projek Perumahan Rakyat Krubong.

Kategori
Nasional