Banjir Hulu Langat: Penduduk mula berpindah

Setakat ini, keadaan masih terkawal dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,

KUALA LUMPUR: Penduduk di sekitar Sungai Serai, Hulu Langat, di sini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara selepas kawasan berkenaan dinaiki air setinggi satu kaki berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, kawasan berkenaan mula dinaiki air sejak pukul 12 tengah hari.

Menurutnya, bilangan penduduk yang berpindah belum dapat dipastikan kerana mereka bergerak sendiri dari kediaman ke dua pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai dan Batu 10.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pengurusan projek Langat 2 untuk segera menaikkan paras ban sepanjang 1 kilometer di Sungai Langat berhampiran Kampung Batu 11 1/2 Sungai Serai.

Katanya, Pegawai Daerah Hulu Langat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua diminta berada di kawasan bencana untuk beri laporan terus kepada saya.

“Saya akan pantau keadaan semasa. Semua jabatan dan agensi penyelamat Negeri Selangor juga dikerah bersiap sedia untuk membantu. Hujan masih turun. Saya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Kategori
BeritaNasional