Bakar balak sita untuk elak fitnah – Pengarah Hutan

"Ia juga sebagai amaran kepada pembalak-pembalak haram yang degil dan keras kepala.

KUCHING: “Kami bakar balak kerana mahu elak fitnah! Sebelum ini kami difitnah bersubahat dengan pihak tertentu apabila kayu-kayu rampasan ini dilelong,” kata Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Sapuan Ahmad.

Beliau diminta mengulas tindakan pasukan penguatkuasa jabatan itu membakar lebih 300 kayu balak rampasan di Belawai pada minggu lalu.

Katanya, pada masa yang sama, lokasi balak haram itu agak terpencil, dan usaha mengeluarkannya tidak berbaloi.

“Ia juga sebagai amaran kepada pembalak-pembalak haram yang degil dan keras kepala.

“Bagi balak-balak rampasan lain, yang laluan ke lokasi sitaan dapat dilalui lori, akan diserahkan kepada syarikat milik kerajaan, Harwood Timber Sdn Bhd.

“Kepada pembalak-pembalak haram ini, ini amaran kami. Kami akan bertindak tegas. Cukup cukuplah! Jangan buat kawasan balak ini umpana awak dan keturunan awak yang punya!,” tegas Sapuan.

Katanya, untuk menjamin penguatkuasaan dan pemantauan hutan Sarawak secara lebih berkesan, pihaknya kini akan menggunakan teknologi dron berkuasa tinggi.

“Dron berharga RM24 juta ini telah pun ditempah, dan ia memiliki kapasiti terbang sehingga sembilan jam,” tambahnya lagi.

Ini merupakan kali pertama insiden seumpana ini berlaku. Sebelum ini, pihak jabatan hanya mengambil tindakan rampas dan lelong.

Kategori
BeritaBorneoNasional