Bajet 2018: Pengangkutan awam kekal agenda utama negara – SPAD

Kami gembira dengan pengumuman kerajaan berhubung geran RM5,000 untuk pemandu teksi yang layak dan mahu bertukar kepada perkhidmatan e-hailing, menandakan ini adalah kerajaan progresif dan prihatin

KUALA LUMPUR: Bajet 2018 membuktikan pengangkutan awam darat kekal menjadi agenda utama pembangunan negara dan untuk itu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan terus berusaha memastikan pengangkutan awam berada di kedudukan untuk menjadi pilihan rakyat.

SPAD dalam kenyataannya berkata, langkah kerajaan memperuntukkan RM45 juta untuk memperkenalkan inisiatif berasaskan teknologi bagi meminimumkan kemalangan akibat kecuaian manusia dan keletihan, khususnya pemandu bas ekspres adalah tepat pada masanya.

“Kami gembira dengan pengumuman kerajaan berhubung geran RM5,000 untuk pemandu teksi yang layak dan mahu bertukar kepada perkhidmatan e-hailing, menandakan ini adalah kerajaan progresif dan prihatin,” katanya.

Mengenai penyiapan lebih awal projek Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) secara berfasa pada 2025, daripada jadual awal pada 2027, menurutnya ia amat penting dalam usaha suruhanjaya untuk mencapai sasaran perkongsian modus 40 peratus di kawasan bandar menjelang 2030.

Perkongsian modus adalah peratusan pengguna menggunakan jenis pengangkutan tertentu atau jumlah perjalanan menggunakan jenis itu. Dalam pengangkutan udara, ia diukur dalam massa.

“SPAD turut gembira dengan langkah kerajaan untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Rel Negara untuk menyokong pembangunan tenaga kerja mahir untuk industri rel,” katanya.

Pusat itu akan diselia oleh SPAD, akan mengenal pasti tren dan tenaga kerja bertauliah untuk kerja-kerja mahir dalam sektor rel negara.

Katanya Malaysia Rail Link Sdn Bhd, milik Ministry of Finance Inc, akan bekerjasama dengan universiti-universiti awam untuk melatih sehingga 3,000 profesional bagi projek Landasan Kereta Api Pantai Timur.

— BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomiNasional