Au sekat kemaraan Nicol di terbuka Amerika Syarikat

Annie yang merupakan pemain nombor sembilan dunia mengambil masa 56 minit untuk menewaskan Nicol dengan keputusan 11-5, 11-5, 10-12, 8-11 dan 11-7

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal mara ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat 2017 setelah tewas kepada pemain Hong Kong, Annie Au dalam perlawanan pusingan kedua di ASB Glass Court, Philadelphia’s Drexel University pada Isnin.

Nicol yang merupakan juara dunia lapan kali dan keenam dalam ranking dunia dikejutkan oleh Annie yang menyerlah dalam dua set pertama sebelum Nicol bangkit untuk memperbaiki kedudukan pada set ketiga dan keempat sebelum tewas pada set kelima.

Annie yang merupakan pemain nombor sembilan dunia mengambil masa 56 minit untuk menewaskan Nicol dengan keputusan 11-5, 11-5, 10-12, 8-11 dan 11-7.

Ini adalah kemenangan pertama Annie berhadapan dengan Nicol pada perlawanan ke-18 mereka dalam pertandingan Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

“Saya berasa gembira akhirnya menang ketika menentang Nicol. Kami bertarung dalam banyak perlawanan, beliau mengalahkan saya setiap masa dalam kejohanan PSA, Sukan Asia, kejohanan peringkat Asia, ” katanya dalam laman sesawang rasmi kejohanan , www.usopensquash.com.

Pemain berusia 28 tahun itu akan bertemu pemain nombor empat dunia Laura Massaro dari England dalam perlawanan suku akhir, Rabu ini.

— BERNAMA

Kategori
NasionalSukan