AKPK bantu 14,688 individu selesai hutang berjumlah RM593 juta

Daripada jumlah itu, seramai 198,915 individu telah mendaftar dalam program ini

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah membantu 14,688 individu menyelesaikan sepenuhnya hutang mereka berjumlah RM593 juta melalui program pengurusan hutangnya (DMP) sehingga pada 30 Sept, 2017.

AKPK mewujudkan DMP untuk membantu peminjam memperbaiki kedudukan kewangan mereka dengan menyusun semula pinjaman perumahan, kenderaan dan peribadi mereka, termasuk baki kad kredit yang belum dijelaskan.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, berkata sejak penubuhannya pada 2006, seramai 631,386 individu telah menghadiri khidmat kaunseling sehingga pada 30 Sept, 2017.

“Daripada jumlah itu, seramai 198,915 individu telah mendaftar dalam program ini,” katanya kepada pemberita di luar AKPK Collaborators Award 2017 di sini hari ini.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahya, menyampaikan anugerah tersebut.

Azaddin berkata sebanyak 68.7 peratus daripada mereka yang mendaftar DMP adalah dalam kumpulan umur 30-50 tahun yang tidak dapat membayar hutang kad kredit mereka.

Beliau berkata perancangan kewangan yang lemah menjadi faktor utama bagi kesukaran kewangan yang dihadapi oleh pelanggan agensi dan ini merupakan 44.7 peratus daripada kes yang diterima, diikuti kos sara hidup yang tinggi (19.3 peratus), kegagalan atau kelembapan perniagaan (14.8 peratus), perbelanjaan perubatan yang tinggi (9.3 peratus) dan lain-lain (11.9 peratus).

“Sebanyak 14.6 peratus daripada individu bawah 30 tahun yang menyertai DMP tidak mempunyai masalah hutang tetapi ingin mendapatkan nasihat kewangan.

“Ini membuktikan dalam kalangan generasi muda, terdapat kesedaran untuk celik kewangan melalui program pendidikan kewangan AKPK,” katanya.

Terdapat tiga kategori dalam AKPK Collaborators Award 2017.

Ia bertujuan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran kewangan dan mempromosikan pendidikan kewangan supaya mereka dapat membuat pilihan kewangan yang baik.

Amanah Ikhtiar Malaysia dan Taylor University meraih Anugerah Kolaborasi Terbaik bersama bagi Tempat Kerja dan Institusi Pengajian Tinggi, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) memenangi ‘Anugerah Juri Khas’ dan Norsela A. Manaf dari Politeknik Sultan Idris Shah menerima ‘Anugerah Pelatih Terbaik’.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional