Ada masa saya terlepas pandang, kata Dr Mahathir

No matter how careful you are (walaupun anda begitu berhati-hati) dalam menguruskan sesuatu, ada yang terlepas dalam pandangan saya. Contohnya saya melantik orang yang salah

PUTRAJAYA: “Kalau nak kata saya seorang yang perfect, saya mengaku, tetapi saya manusia biasa, ada masa saya terlepas pandang,” kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjelaskan mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing pada tahun 1980-an, pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Datuk Suhaimi Ibrahim, bahawa Dr Mahathir adalah seorang yang ‘perfect’ dan sangat teliti serta sangat mengambil berat sesuatu permasalahan, tetapi mengapa beliau tidak mengambil berat mengenai kerugian BNM yang sangat besar itu.

“No matter how careful you are (walaupun anda begitu berhati-hati) dalam menguruskan sesuatu, ada yang terlepas dalam pandangan saya. Contohnya saya melantik orang yang salah,” kata Dr Mahathir tanpa menamakan individu berkenaan.

Pada ketika ini anggota Suruhanjaya iaitu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said memberitahu Dr Mahathir bahawa isu yang didengar hari ini ialah mengenai kerugian BNM.

Kamaludin juga bertanyakan Dr Mahatir sama ada beliau telah salah melantik Menteri Kewangan pada ketika itu di mana Dr Mahathir menjawab “Masa mula nampak dia baik , apa yang dia nak buat, saya tidak tahu,” katanya.

Kepada soalan Suhami sepatutnya Dr Mahathir akan lebih mengambil berat mengenai kerugian BNM kerana ia juga dilaporkan oleh media asing, Dr Mahathir berkata beliau tidak mengendahkan laporan media asing kerana mereka selalu mengkritiknya.

“Saya ambil laporan (mengenai kerugian BNM) oleh pegawai saya. Saya berpegang kepada laporan pegawai-pegawai saya termasuk Menteri Kewangan dan juga Gabenor,” katanya.

Terdahulu, dalam pernyataan saksinya, berkenaan keterangan Tan Sri Clifford Francis Herbert yang menyatakan bahawa beliau bersama Menteri Kewangan ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim ada berjumpa dengan Dr Mahathir di pejabatnya pada lewat 1993 dan melaporkan kepada beliau tentang kerugian BNM sebanyak RM30 bilion, Dr Mahathir berkata beliau tidak ingat angka RM30 bilion disebut.

“Apa yang saya ingat adalah, angka dalam lingkungan RM5 bilion yang disebut. Ini adalah kerana apabila ianya dimaklumkan kepada saya, saya sudahpun tahu bahawa kerugian urus niaga mata wang asing BNM pada tahun 1992 adalah RM5.7 bilion seperti yang telah sebelum itu dimaklumkan kepada Kabinet oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga sepertimana setakat ingatan saya telah dibentangkan di Parlimen.

“Apa yang saya pasti adalah tidak ada mana-mana dokumen bertulis yang ditunjukkan atau diberikan kepada saya berkaitan perkara ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata segala masalah berkaitan isu urus niaga mata wang asing BNM telahpun ditangani bank pusat itu pada tahun 1992 hingga 1994 dengan memperkenalkan pelbagai langkah kawal selia dan juga melalui penggubalan Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Berkenaan bekas Gabenor BNM Tan Sri Jaffar Hussein, Dr Mahathir berkata secara peribadi Jaffar terkenal sebagai seorang yang berwibawa, beramanah dan penuh berhemah.

Beliau juga dikenali sebagai seorang yang tegas, lurus dan saya mempunyai penuh kepercayaan terhadap kewibawaan dan ketelusan beliau.

“Saya juga menyatakan mana-mana kerugian urus niaga mata wang asing BNM dalam tempoh 1992 hingga 1994 itu, tidak boleh mencacatkan kesemua sumbangan baik dan jasa Jaffar yang telah berkhidmat demi kepentingan negara tanpa penat lelah,” katanya.

Katanya tindakan Jaffar mengambil keputusan untuk bertanggungjawab dan meletakkan jawantannya sebagai gabenor BNM pada 1994 adalah satu tindakan yang berhemah tinggi.

Berhubung keterangan Anwar tentang mesyuarat kabinet bertarikh 30 Mac 1994 dan 6 April 1994, Dr Mahathir berkata setakat ingatannya tidak ada mana-mana fakta yang berbeza yang ditampilkan oleh Anwar semasa mesyuarat tersebut daripada kandungan dokumen laporan kewangan tahunan BNM yang dikemukakan semasa mesyuarat Kabinet itu.

“Saya sesugguhnya percaya memandangkan kerugian sebenar BNM adalah tidak dikenalpasti pada ketika itu, melainkan apa-apa jumlah yang tertera di dalam laporan kewangan tahunan BNM yang dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet dan Parlimen, maka Anwar telah tidak menyembunyikan apa-apa maklumat yang diberikan kepada beliau secara rasmi oleh BNM daripada mesyuarat Kabinet ketika itu.

Pendengaran bersambung esok.

Suruhanjaya Siasatan Diraja itu diketuai Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, yang dilantik sebagai Pengerusi, dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said serta Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Selain itu, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Permudah), Tan Sri Saw Choo Boon dan Anggota Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan.

— BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomiNasional