1.3 juta penumpang pengangkutan awam setiap hari menjelang akhir tahun

Beliau berkata perkongsian mod pengangkutan awam di Greater KL pada 2010 hanya pada 10 peratus dan meningkat kepada 23 peratus tahun ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan yakin dapat mencapai sasaran 1.3 juta penumpang pengangkutan awam setiap hari di Lembah Klang menjelang akhir tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pada masa ini jumlah penumpang harian ialah sekitar 1.2 juta.

Beliau berkata perkongsian mod pengangkutan awam di Greater KL pada 2010 hanya pada 10 peratus dan meningkat kepada 23 peratus tahun ini.

“Kami menetapkan matlamat tinggi untuk mencapai perkongsian mod 40 peratus bagi pengangkutan awam darat di kawasan bandar menjelang 2030. Menerusi usaha bersepadu, perkongsian mod mencatatkan pertumbuhan signifikan,” katanya berucap pada Malam Gala Kementerian Pengangkutan, di sini Isnin malam.

Liow juga berkata kementerian mencatat skor 104 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setakat Oktober lalu.

Beliau berkata seramai 665,875 penumpang persiaran tiba di pelabuhan negara ini setakat Oktober lalu berbanding sasaran 577,500 ketibaan.

“Ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi kita yang kukuh serta keupayaan kita mengendalikan pelabuhan dengan cekap dan berkesan. Kita akan bekerja lebih keras untuk mencapai KPI lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga merancang untuk mengurangkan kadar kemalangan daripada 2.5 kepada 2.29 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan tahun ini.

Terdahulu, Liow berkata Malaysia akan bertanding mempertahankan kerusinya dalam Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk penggal ketujuh berturut-turut.

Beliau juga berharap media akan terus menyokong dan membantu kementerian menyalurkan maklumat mengenai usaha kementerian dan kerajaan.

Pada majlis itu, Liow turut menyampaikan sijil penghargaan kepada organisasi media termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional