Kelajuan Internet penting dalam memacu ekonomi digital

Ini adalah sasaran kami untuk menghubungkan rakyat yang berada di negeri tercinta ini,
KUCHING: Kesalinghubungan atau connectivity adalah penting dalam usaha Sarawak untuk memacu bidang ekonomi digital.

Perkara itu termasuk penyediaan kemudahan dan infrastruktur terkini seperti tahap kepantasan internet yang tinggi serta menara telekomunikasi di lokasi sesuai.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Sarawak sudah memperuntukkan dana bagi tujuan tersebut.

“Ini adalah sasaran kami untuk menghubungkan rakyat yang berada di negeri tercinta ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Awang Tengah Hassan dan Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam.

Apabila ditanya tentang bagaimana Sarawak bercadang untuk meningkatkan kerjasama serantau dalam bidang Ekonomi Digital, Abang Johari menjawab hubungan kerjasama itu sudah sedia terjalin.

“Sebagai contoh hubungan dengan Kalimantan Barat, yang mana kami (Sarawak) sudah mengeksport tenaga hidroelektrik kepada mereka.

“Saya percaya model kerjasama seperti ini boleh diperluas ke serata rantau Asean dan seterusnya mengukuhkan Ekonomi Digital yang ingin dipelopori,” kata beliau.

Kategori
BeritaDunia