BNM: Ringgit Mengukuh 10.1 Peratus Sepanjang Tahun 2017

Kadar tukaran asing juga kekal stabil dengan ringgit berbanding dolar AS dengan turun naik dalam tempoh sebulan berlegar pada purata 4.5 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR: Mata wang ringgit mengukuh 10.1 peratus sepanjang tahun ini dan diniagakan antara RM4.05 hingga RM4.09 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Disember selepas langkah-langkah pemulihan dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) sejak Disember tahun lalu.

Menurut BNM, kadar tukaran asing juga kekal stabil dengan ringgit berbanding dolar AS dengan turun naik dalam tempoh sebulan berlegar pada purata 4.5 peratus tahun ini.

Palam masa sama, kecairan dalam pasaran tempatan juga semakin bertambah baik dan ber­upaya memenuhi keperluan lin­dung nilai bagi pemastautin dan bukan pemastautin.

“Pasaran tukaran asing dalam negara tahun ini kekal stabil de­ngan jumlah purata harian pada AS$9.9 bilion (RM40.37 bilion) berban­ding AS$8.1 bilion (RM33.03 bilion) tahun lalu. Daripada jumlah itu, urus niaga hadapan dan tukaran merekodkan purata AS$3.8 bilion (RM15.5 bilion) setiap hari.

“Dengan peningkatan kecairan ini, purata harga tawaran melebihi bidaan (bid-ask) bagi ringgit berbanding dolar AS mencatatkan purata yang rendah pada 24 mata, berbanding 46 mata tahun lalu.

“Untuk itu, BNM dan FMC akan terus meningkatkan kerjasama de­ngan peserta pasaran dan kekal fokus bagi mewujudkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan memudahkan perniagaan demi kebaikan kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam usaha me­ngukuhkan ringgit, BNM de­ngan kerjasama FMC setakat ini te­lah melaksanakan dua kali langkah libe­ralisasi iaitu pada Di­sember 2016 dan April 2017 yang me­rupakan sebahagian daripada inisia­tif mening­katkan kecairan dalam pasaran mata wang asing.

BNM kemudiannya melaksanakan inisiatif ketiga pada November lalu dengan matlamat meningkatkan jualan jangka pendek dan me­lancarkan kecairan antara pasaran bank tempatan berlesen de­ngan memperluaskan cagaran yang sesuai untuk operasi kecairan.

Langkah itu termasuk memper­kenalkan BNM Interbank Bills (BNIBs). Selain itu, fleksibiliti lindung nilai tukaran asing turut diperkenalkan kepada bukan pemastautin bagi me­nguruskan pendedahan ringgit berikutan dagangan minyak sawit mentah dalam ringgit di Bursa Malaysia.

Menurut BNM, hasil daripada inisiatif tersebut menyaksikan pe­ningkatan seimbang bagi permintaan dan bekalan mata wang asing sekali gus menjadikan pasaran tukaran asing lebih efisien.

“Sejak Disember 2016, eksport bersih hasil tukaran asing merekodkan jumlah terkumpul pada +AS$8.8 bilion (RM35.89 bilion) berbanding -AS$500 juta (RM2.04 bilion) antara Januari dan November 2016,” katanya.

Jelas bank itu, langkah tersebut juga menjadikan pasaran bon Malaysia terus menarik minat pelabur apabila tiga lelongan utama bon kerajaan merekodkan penyertaan daripada pelbagai peringkat pelabur.

Katanya, penyertaan bagi pelabur bukan pemastautin dalam pasaran bon meningkat kepada RM6.2 bi­lion pada suku keempat 2017 yang me­rangkumi 27.4 peratus daripada jumlah bon kerajaan sedia ada setakat 20 Disember 2017.

“Nilai dagangan purata harian bagi pasaran sekunder bon merekodkan RM3.5 bilion pada tahun ini. Pada bulan lalu, nilai jualan Malaysian Government Securities (MGS) bagi jangka pendek meningkat kepada RM1.6 bilion,” katanya.

BNM memberitahu, di bawah kerangka kerja lindung nilai yang dinamik, 73 pengurus dana berdaftar dengan BNM yang merangkumi RM126.2 bilion aset di bawah pe­ngurusan (AUM) yang layak.

“Daripada jumlah itu, 57 pe­ngurus dana adalah bukan pemastautin. Sejak lanjutan daripada program lindung nilai yang dinamik untuk entiti korporat, 21 syarikat termasuk entiti asing sudah berdaftar dengan BNM,” katanya.

Kategori
Ekonomi