USAH BEREBUT, SAMA-SAMA KITA JADIKAN SARAWAK KAYA SEPERTI ARAB— ABANG JO

Usah berebut. Kongsi kek kemakmuran yang disediakan kerajaan limpahan daripada ekonomi digital kelak,

KUCHING: “Usah berebut. Kongsi kek kemakmuran yang disediakan kerajaan limpahan daripada ekonomi digital kelak,” pesan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg malam tadi.

Menurutnya, Sarawak kini sedang menyediakan ekosistem ke arah itu, dengan pengukuhan prasarana dan mendidik masyarakat ke arah digital.

“Apabila semuanya siap kelak, Sarawak akan berhadapan dengan pasaran sebanyak tiga bilion pengguna, sejauh enam jam perjalanan menggunakan pesawat.

“Ia menjangkau pasaran sejauh India dan China.

“Kerana itu saya mahu semua usahawan di negeri ini bersedia untuk menghadapi transformasi ini,” katanya ketika merasmikan Makan Malam Ulang Tahun ke-66 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) di Hotel Hilton di sini.

Katanya lagi, selain melengkapkan Sarawak dengan prasarana digital berhalaju tinggi, Kerajaan Negeri pimpinannya juga akan memperkenal “big data” pada April, yang akan mengongsikan pelbagai maklumat yang boleh dimanfaatkan golongan usahawan negeri ini.

“Kita juga sedang memajukan sistem pembayaran digital e-wallet, yang dikenali sebagai ‘Sarawak Pay’, yang kemudian dirangkaikan kelak dengan Ali Pay, sebagai usaha mengantarabangsakannya,” katanya lagi.

Abang Johari menambah, dengan kekayaan biodiversiti negeri ini, selain keupayaan menghasilkan hidrogen sebagai bahan bakar, golongan usahawan di negeri ini akan menerima limpahan manfaat.

“Syaratnya, mereka menerokai apa jua potensi yang ada untuk membuat wang.

“Yakinlah, apabila usaha kita mengeluarkan hidrogen sebagai tenaga bahan bakar menjadi realiti kelak, Sarawak akan mengeksportnya, sekali gus menjadikan negeri ini kaya seperti negara Arab.

Ketika itu tambahnya, tiada lagi pasaran domestik Sarawak, tetapi kita akan menakluk dunia.

“Kita akan jadikannya sebagai eksport terbaharu kita seperti juga kita mengeksport LNG,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut empat individu telah dipilih untuk menerima Anugerah Usahawan Negeri Sarawak iaitu Dr Gregory Hii Sui Cheng, Datuk Nelson Balang Rining, Datuk Chew Chiaw Han dan Francis Yong Piaw Soon.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Presiden SCCI, Datuk Abang Haji Abdul Karim Tun Openg. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo