UNIT TAMAN NEGARA DAN BERSTATUS JABATAN PADA 1 JANUARI — KETUA MENTERI

Kerajaan Negeri telah mewartakan 37 taman negara, 14 hutan simpan dan lima pusat hidupan liar, dengan keluasan 944 ribu hektar

KUCHING: Unit Taman Negara dan Hidupan Liar Sarawak akan dinaik taraf sebagai sebuah jabatan, tidak lama lagi, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Penubuhan jabatan itu katanya, membuktikan Kerajaan Negeri memberikan komitmen dan keutamaan yang tinggi terhadap aktiviti pemuliharaan  kawasan terlindung dan hidupan liar di negeri ini.

“Melalui pembentukan jabatan ini juga kelak, penyelarasan kawasan terlindung di Sarawak dan hidupan liar akan lebih fokus manakala kemampuan untuk mengurusnya dapat dilakukan secara lebih berkesan dan cekap,” katanya ketika berucap pada forum wilayah yang bertajuk “Inovasi, Inklusif dan Impak: Memperkukuh dan mempelbagaikan penyaluran dana untuk kawasan terlindung” anjuran Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) di Hotel Hilton di sini pagi ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Sumber memberitahu, penubuhan jabatan itu akan menjadi realiti pada 1 Januari depan.

Ketika ini pengurusan taman negara dan hidupan liar di Sarawak ditangani bersama oleh Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation.

“Kita sedang dalam peringkat akhir persiapan, termasuk melihat pelbagai aspek serta mengemaskinikan perjawatan.

Ditanya tentang desas-desus yang mengatakan jabatan tersebut mungkin akan berada di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan selepas ini, Awang Tengah menegaskan yang penting adalah memastikan jabatan ini dapat diwujudkan.

“Kementerian mana ia akan diletakkan, hanyalah perkara dasar.

“Sebagai sebuah jabatan, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka mempunyai tenaga kerja yang cukup,” tambahnya lagi.

Taman negara dijangka terus menjadi produk pelancongan penting Sarawak, apatah lagi dengan proses penjenamaan dan strategi pemasaran yang baharu, selain pengisytiharan taman-taman negara yang baharu.

Ketika ini, Kerajaan Negeri telah mewartakan 37 taman negara, 14 hutan simpan dan lima pusat hidupan liar, dengan keluasan 944 ribu hektar.

Di bawah Dasar Penggunaan Tanah, Kerajaan Negeri mensasarkan sejuta hektar untuk diwartakan sebagai taman negara, hutan simpan dan pusat hidupan liar menjelang tahun 2020.

Justeru tidak hairanlah kerajaan memperuntukkan RM43 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas untuk membangunkan taman-taman ini, tidak termasuk kos RM10 juta perbelanjaan operasinya.

Pada tahun 2016, sejumlah 12.4 peratus daripada keseluruhan 4.6 juta pelancong yang tiba di Sarawak telah berkunjung ke taman negara dan hutan simpan, sekali gus menyumbang kepada pendapatan negeri sebanyak RM5.7 juta. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo