TUJUH DIALEK SARAWAK DIANCAM PUPUS,ABANG JO MAHI TINDAKAN MENYELAMAT SEGERA

Jika tidak dapat dipulihara serta tidak ada langkah-langkah serta usaha bersepadu untuk memuliharanya, bahasa tersebut akan pupus dan hilang

KUCHING: Tujuh dialek tempatan di Sarawak diancam kepupusan, menyebabkan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mahu tindakan segera diambil untuk menyelamat dan memuliharanya.

Dialek yang hampir pupus, berikutan pengecilan populasi penuturnya ialah Tatau, Lugat, Narum, Sihan, Lahanan, Baketan, dan Seru.

“Jika tidak dapat dipulihara serta tidak ada langkah-langkah serta usaha bersepadu untuk memuliharanya, bahasa tersebut akan pupus dan hilang,” dedahnya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Bahasa (ICLS) 2017 di sebuah hotel terkemuka di sini,

Persidangan yang bertemakan “Memperkukuh Bahasa dan Budaya: Borneo dan Serantau” itu dianjurkan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)  dan dihadiri oleh lebih 200 peserta dari seluruh dunia.

Pada majlis itu, Abang Johari mahu persidangan antarabangsa ini menjadi forum untuk mengkaji kesan globalisasi terhadap bahasa dan budaya peribumi selain memperkasa komuniti penyelidik dan pengamal agar dapat terus melestarikan bahasa dan budaya tempatan di rantau ini.

“Dunia sedang mengalami proses globalisasi yang pesat dan digitalisasi secara politik, ekonomi, budaya dan sosial.

“Turut berkembang dan bangkit ialah bahasa dan budaya lain seperti budaya popular Korea melalui kandungan industri kreatif.

“Ia telah memberi impak kepada orang ramai dari semua peringkat umur di seluruh dunia.

Oleh itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya komuniti penyelidik dan pengamal, serta ahli dan pemimpin masyarakat peribumi berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan asing untuk

memelihara, memulihara dan menghidupkan semula bahasa asli dan warisan budaya mereka untuk generasi akan datang.

“Saya percaya bahawa UNIMAS dan Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang baharu ditubuhkan dapat memimpin dalam inisiatif kritikal ini,” katanya.

Katanya, ia juga peluang permulaan yang baik untuk UNIMAS membina keupayaan dan memperkukuh perkongsian dalam mewujudkan masa depan bahasa dan budaya yang berkesan di negeri ini. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo