TPM BERANG HOSPITAL TIDAK SIAP PADA WAKTU SEPATUTNYA

Kita tidak berkompromi terhadap kontraktor dan perunding pembinaan yang mendapat kontrak membina prasarana kesihatan termasuk berkaitan kebajikan
SRI AMAN: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berang dengan sikap kontraktor pembinaan Hospital Sri Aman di sini, yang terbengkalai selama 218 hari.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak berkompromi dengan pihak terbabit, termasuk tempoh lanjutan (EoT) pembinaan.
“Kita tidak berkompromi terhadap kontraktor dan perunding pembinaan yang mendapat kontrak membina prasarana kesihatan termasuk berkaitan kebajikan.
“Saya mahu berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan kementerian lain berkaitan projek terbengkalai ini.
“Bukan saja projek terbengkalai di negeri ini, setiap projek terbengkalai di seluruh negara akan diselesaikan satu persatu,” katanya berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Ramah Tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri, di Dewan Suarah di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; serta Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Masir Kujat.
Sebelum menghadiri majlis berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengadakan lawatan mengejut di tapak pembinaan Hospital Sri Aman membabitkan keluasan projek 20 hektar.
Projek hospital berkenaan bernilai RM200 juta dan mampu menempatkan 108 katil.-BHOnline
Kategori
Borneo