SIAP SIAGA HADAPI BANJIR BESAR – SHAHIDAN

Berdasarkan ramalan dari Jabatan Meteorologi, Malaysia akan mengalami hujan lebat dalam beberapa episod pada November depan.

KUCHING: Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti (CERT) di seluruh negara diminta bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan gelombang banjir besar yang dijangka melanda pada November depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, antara persediaan yang perlu dilakukan ialah memastikan semua keanggotan pasukan atau agensi penyelamat termasuk kelengkapan menyelamat serta kemudahan logistik sentiasa mencukupi.

Menurut beliau, bagi tujuan itu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dipertingkatkan kecekapannya dengan melantik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku jentera. “Berdasarkan ramalan dari Jabatan Meteorologi, Malaysia akan mengalami hujan lebat dalam beberapa episod pada November depan.

Kita akan umumkan dari semasa ke semasa tetapi cuaca sekarang tidak menentu.

“Sehubungan itu, kita perlu bersiap sedia sepanjang masa. Oleh sebab itu kita ada menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri, bahagian dan daerah juga di peringkat komuniti di kawasan biasa dan tidak biasa banjir,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2017 di Tebingan Kuching di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shahidan selaku menteri bertanggungjawab terhadap bencana di negara ini memberitahu, JPBN akan memastikan pangkalan hadapan yang berfungsi sebagai tempat menyimpan makanan serta keperluan asas kepada mangsa diletakkan berdekatan dengan kawasan bencana.

Katanya, sebagai contoh ketika banjir melanda negara pada 2014 dan 2015 Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak ada jentera, ia hanya selaku penyelaras tetapi sekarang kita sudah ada NADMA dan APM selaku jentera.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kerajaan juga telah memberi kuasa kepada JPBN untuk menghantar makanan kepada mangsa banjir berbanding sebelum ini. Jelasnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah memberi pengiktirafan lima bintang kepada JPBN Sarawak.

Kategori
Borneo