SEMUA PUSAT TAHFIZ DI SARAWAK DI NILAI TAHAP KESELAMATAN, KERAJAAN NEGERI BANTU TINGKATKAN KEMUDAHAN — ABANG JO

Jabatan Bomba dan Penyelamat akan memeriksa semua pusat tahfiz yang berdaftar di bawah Majlis Islam Sarawak untuk dinilai dan ditingkatkan faktor keselamatannya.

KUCHING: Kerajaan Negeri telah mengarahkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memeriksa semua pusat tahfiz yang berdaftar di bawah Majlis Islam Sarawak untuk dinilai dan ditingkatkan faktor keselamatannya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pada masa yang sama, pihak kerajaan turut berusaha dari semasa ke semasa meningkatkan kemudahan untuk tujuan keselesaan dan keselamatan di pusat-pusat pengajian Al Quran di negeri Sarawak ini.

“Kita amat sedih dan dukacita atas peristiwa kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur pada bulan September lepas, yang mengorbankan 23 pelajar termasuk dua guru.

“Peristiwa seperti ini seharusnya diambil pengajaran supaya tidak berlaku di tempat-tempat yang lain, khususnya di negeri,” katanya ketika berucap pada
Majlis Perhimpunan 1000 Huffaz 1439H di Masjid Darul Hana, malam tadi.

Majlis disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan Abang Johari diwakili Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Ini merupakan julung kali Perhimpunan 1000 Huffaz dianjurkan di Sarawak.

Kata Abang Johari lagi, berdasarkan rekod Majlis Islam Sarawak, sebanyak 28 buah pusat tahfiz telah berdaftar di negeri ini, dengan 20 buah di Kuching, dua buah di Samarahan, Bintulu dan Miri, manakala sebuah di Betong dan Sibu.

“Jumlah pelajar daripada 28 pusat tahfiz ini berjumlah seramai 1,153 orang dan seramai 138 guru pembimbing.

“Justeru sebagai tanda sokongan dan keprihatinan Kerajaan, Majlis Islam Sarawak telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.43 juta pada tahun 2016 bagi membantu 802 pelajar.

“Dan pada tahun 2017 ini sehingga bulan Julai, Majlis Islam Sarawak telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.13 juta,” katanya lagi.

Selain pusat-pusat tahfiz al Quran ini, katanya kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mewujudkan pengajian tahfiz Al Quran di peringkat sekolah menengah.

“Di negeri Sarawak, SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Matang, telah dipilih sebagai pusat pengajian Tahfiz Al Quran.

“Bermula pada tahun ini, pelajar Tingkatan 1 sekolah berkenaan telah menggunakan Kurikulum Kebangsaan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) dan apabila pelajar-pelajar ini tamat pengajian Tingkatan 5, mereka akan hafal keseluruhan 30 juzuk Al-Quran,” katanya lagi.

Perhimpunan ini dianjurkan oleh pihak Persatuan Institusi Tahfiz Al Quran (PINTA) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo