SARAWAK TENTUKAN MASA DEPAN SENDIRI,TIDAK HARAP PIHAK LAIN — ABANG JO

Kita perlu kawal kekayaan sumber yang ada dan manfaatkannya sebagai hasil pendapatan negeri

KUCHING: Sarawak akan menentukan masa depannya sendiri dan tidak bergantung, atau mengharapkan sangat kepada orang lain, tegas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg malam tadi.

Menurutnya, usah ditunggu bantuan datang untuk negeri ini, terutama yang berbentuk pembangunan.

“Jika ada bantuan dihulurkan, kita ucapkan terima kasih namun kita sendiri perlu menentukan masa hadapan kita sendiri.

“Kita perlu kawal kekayaan sumber yang ada dan manfaatkannya sebagai hasil pendapatan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan nama dan logo baharu Parti Demokratik Progresif (PDP) di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalannya, yang juga Naib Pengerusi Barisan Nasional Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut hadir Pengerusi PDP, Datuk Seri Tiong King Sing.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata, beliau bersyukur kerana Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan semula pemilikan empangan Bakun selain mewujudkan bank pembangunannya sendiri, DBOS dan syarikat petroleum PETROS.

“Malah kita juga telah meluluskan Rang Undang-undang Ordinan Multimedia Sarawak untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mengawal aktiviti Ekonomi Digital.

“Tetapi yang penting sekali ialah kita akan terus berunding untuk mengembalikan kuasa kita yang terhakis, mengikut perlembagaan negara,” tambahnya lagi.

Kerana itu katanya lagi, selaku Pengerusi BN Sarawak, beliau berterima kasih kepada PDP kerana menunjukkan semangat kerjasama dan kesetiaan yang kuat dalam usaha memperkukuhkan BN di Sarawak.

“Kestabilan ini berperanan besar dalam membantu mengangkat Sarawak sebagai sebuah ekonomi digital dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

Setelah dilantik sebagai Ketua Menteri pada 13 Januari lalu katanya, beliau telah memikirkan apakah cara terbaik untuk membangunkan negeri ini.

“Kaedah ekonomi konvensional berdasarkan sumber tidak lagi berupaya melonjakkan ekonomi Sarawak ke tahap yang dinikmati oleh negara-negara yang sudah maju seperti Estonia — sebuah negara bekas jajahan Rusia yang kecil dan miskin tetapi bertukar maju dalam tempoh yang agak singkat.

“Kerana itulah saya memilih ekonomi digital kerana seperti juga Estonia, ia akan membuka pintu kepada kemajuan, juga membuka pasaran yang luas kepada masyarakat peniaga kita,” katanya lagi.

Kerana itulah kestabilan politik dan sokongan rakyat amat diperlukan, bagi memastikan agenda ini berjaya, katanya lagi. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo