SARAWAK SASAR JADI HUB PENGEKSPORTAN BUAH-BUAHAN RANTAU ASIAN — KETUA MENTERI

Pada masa yang sama kita akan menggunakan teknologi pintar bagi meningkatkan aspek pengeluaran dan memperluas pemasaran

KUCHING: Sarawak menyasarkan pengeluaran buah-buahan secara besar-besaran dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, melalui pelaksanaan konsep pertanian digital yang berasaskan sensor dan robotik.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sesuai dengan perkembangan tersebut, Kerajaan Negeri kini memberi tumpuan untuk muncul sebagai hub pengeksportan buah-buahan bagi rantau ini.

“Sarawak mempunyai tanah yang luas dan amat sesuai untuk tanaman buah-buahan ini.

” Pada masa yang sama kita akan menggunakan teknologi pintar bagi meningkatkan aspek pengeluaran dan memperluas pemasaran,” katanya.

Menurutnya, penggunaan teknologi digital dan sensor ini membolehkan pengeluaran dan tarikh matang buah dapat dijangka malah dijadualkan, dan analisis data ini juga membantu merancang pengeluaran produk-produk huluan, tengah dan hiliran.

 “Gabungan ini disertai iklim yang baik, membolehkan impian Sarawak ini menjadi realiti” katanya yang ditemui selepas menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Top Fruits (Sarawak) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Penview (PCC), dekat sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani dan Pengarah Top Fruits (Sarawak) Sdn Bhd, Dr Tan Sue Yee.

Kerjasama ini katanya lagi, bertujuan untuk mengenal pasti kaedah bagi memaksimumkan pengeluaran buah-buahan, khususnya durian yang kini semakin mendapat tempat di pasaran antarabangsa.

“Syarikat Top Fruits mempunyai teknologi dan pengalaman bukan sahaja dalam aspek penanaman malah pemasaran, dan dengan bantuan teknologi seperti dron, mereka akan dapat memperbanyak tanaman buah itu di negeri ini.

Selain durian, Abang Johari turut menggalakkan golongan petani ini terlibat dalam pertanian kelapa, yang semakin mendapat permintaan.

“Seluruh dunia kini memerlukan kelapa dan  banyak bekalan diperlukan, termasuk untuk dijadikan biomas,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo