SARAWAK GUNA KEMUDAHAN IT, PASAR PRODUK KELUARAN USAHAWAN MIKRO — FATIMAH

Program ini dapat melonjakkan pendapatan usahawan mikro dengan sasaran pascaprogram adalah sebanyak RM4.5 juta setahun

KUCHING: Seramai 40 pelatih tempatan telah dipilih untuk menyertai program kejurulatihan eUsahawan yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS).

Program ini bertujuan untuk menghasilkan tenaga pelatih tempatan yang boleh menggerakkan kursus-kursus eUsahawan secara aktif ke seluruh negeri.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sebagai permulaan, pihaknya mensasarkan seramai 3,000 peserta dalam kalangan usahawan mikro yang akan celik IT melalui program ini.

“Mereka merupakan kalangan 500 peserta dari satu-satu bahagian yang menghadiri bootcamp dan latihan berterusan yang akan diadakan di lokasi yang ditetapkan,” katanya sewaktu menyampaikan alu-aluan Program Digital Kenyalang Sarawak, dekat sini, semalam.

 Majlis perasmian program yang julung kali diadakan itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Fatimah berkata, beliau percaya, program ini akan mengembangkan lagi strategi pasaran produk usahawan wanita di Sarawak ke peringkat antarabangsa.

“Jika dahulu pemasaran produk lebih kepada secara tradisional tetapi kini dengan adanya ekonomi digital, gerak kerjanya meluas dan dijangka dapat memenuhi permintaan pasaran dari luar.

“Saya juga berharap program ini dapat melonjakkan pendapatan usahawan mikro dengan sasaran pascaprogram adalah sebanyak RM4.5 juta setahun,” katanya lagi.

Jelas Fatimah, melalui program Digital Kenyalang, dua inisiatif teras ekonomi digital kelolaan MDEC iaitu eUsahwan dan eRezeki akan dianjurkan di enam lokasi iaitu Bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Miri, Sibu dan Limbang.

“Ia untuk mendedahkan rakyat kepada kaedah dan teknik untuk meraih jualan serta menjana pendapatan tambahan secara atas talian.

Sementara itu, katanya Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat kini turut menyediakan kursus dan latihan berkaitan teknologi maklumat kepada para kliennya, yang berkait dengan keusahawanan.

“Ketika ini jumlah keseluruhan usahawan mikro di Sarawak adalah sebanyak 13,118 orang; yang terdiri daripada peserta 1 AZAM seramai 8,643 orang, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (90 orang), Jabatan Kebajikan Masyarakat (207 orang), MIED (146 orang) dan MDEC (4,031) orang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 975 peserta telah mengikuti kursus IT dan jumlah usahawan mikro yang berjaya meningkatkan pendapatan melalui kaedah IT adalah sebanyak 102 orang, dengan pendapatan keseluruhan mencapai sebanyak RM659,187 setahun,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo