SARAWAK DAPAT PERUNTUKAN TERBESAR DARIPADA KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH

Sarawak turut mendapat peruntukan RM94.4 juta atau 24 peratus bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

KUCHING: Sarawak mendapat peruntukan paling besar berbanding negeri lain daripada peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi keseluruhan bekalan elektrik luar bandar Sarawak menerima 48 peratus atau RM3.374 bilion daripada bajet bagi tempoh pelaksanaan 2010-2017.

Sarawak turut mendapat peruntukan RM94.4 juta atau 24 peratus bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Selain itu, bagi pembinaan jalan luar bandar dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), Sarawak mendapat 20.4 peratus peruntukan bersamaan RM177.9.

Sementara, Sarawak turut mendapat peruntukan RM1.499 bil iaitu 25 peratus daripada peruntukan projek bekalan air luar bandar dalam RMK10 dan RMK11.

“Ini bermakna peruntukan yang disalurkan kepada negeri Sarawak adalah lebih besar dari segi peratusan berbanding yang diterima oleh negeri lain,” kata Ismail memetik laporan Bernama pada Isnin.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Luar Bandar kali kedua di Kuching, Ismail mendedahkan, sebuah jawatankuasa kerja ditubuhkan dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha KKLW dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak.

Jawatankuasa ini menurut beliau bermesyuarat dari semasa ke semasa.

Mereka bertanggungjawab memantau setiap projek yang dilaksanakan bagi mengesan serta menangani projek sakit.

Menurut Ismail jawatankuasa tertinggi dipengerusikan bersama oleh beliau sendiri bersama-sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Dougkas Uggah Embas bertujuan membincangkan cadangan projek yang hendak dilaksanakan.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah isu PPRT dan pembinaan tadika Kemas. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo