SABAH, SARAWAK GUNA 25 PERATUS DARIPADA KAPASITI PENUH SKR1M

SKR1M ini akan pasti dapat menggalakkan penggunaan ekonomi digital di negara ini dan merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak

KOTA KINABALU – Sebanyak 25 peratus daripada kapasiti Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M) telah mula digunakan oleh pengguna jalur lebar di Sabah dan Sarawak sejak Jun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Dr Halim Shafie berkata kabel dasar laut sepanjang 3,800 kilometer itu mempunyai kapasiti sehingga empat terabait (TB) sesaat, namun penggunaan di dua negeri terbabit hanya memerlukan satu TB sesaat.

“Bagaimanapun, apabila lebih ramai masyarakat mengetahui manfaat penggunaan Internet, penggunaan kapasiti SKR1M ini akan digunakan sepenuhnya.

“Untuk makluman juga, kapasiti 4 TB ini boleh dinaik taraf lagi sehingga 12 TB yang mungkin akan dilaksanakan dalam tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sistem kabel itu, di sini hari ini.

Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Siringan Gubat yang mewakili Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurut Halim sistem yang dibangunkan oleh MCMC bersama Telekom Malaysia Bhd sejak 2014 itu menelan kos RM619 juta.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Bruno Vun berkata Sabah menghargai perhatian kerajaan pusat terhadap keluhan rakyat di negeri itu yang mengharapkan kemudahan kelajuan Internet lebih pantas.

“Rakyat di Sabah telah mula menikmati kelajuan Internet lebih tinggi dan perkembangan ini memenuhi tuntutan rakyat di negeri ini yang tidak mahu ketinggalan dalam kemajuan teknologi,” katanya.

Pengerusi Telekom Malaysia Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak antara faktor kepada kejayaan pembangunan SKR1M itu.

“SKR1M ini akan pasti dapat menggalakkan penggunaan ekonomi digital di negara ini dan merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam ucapan Salleh yang disampaikan oleh Siringan, beliau berkata sehingga bulan lepas, sejumlah 33 buah ibu sawat di Sabah telah dinaik taraf meliputi hampir 141,666 premis di negeri ini yang membolehkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dilanggan.

Menurutnya usaha itu akan diteruskan lagi sehingga 2019 dengan tambahan sebanyak 38,333 premis lagi.

Selain daripada itu, Salleh berkata MCMC telah membina 338 menara telekomunikasi yang baharu dan menaik taraf 880 stesen sedia ada ke perkhidmatan 3G sehingga Jun lalu.

Hasil inisiatif ini, liputan 3G di kawasan berpenduduk bagi Sabah telah diperluas kepada 75 peratus berbanding 64 peratus pada 2011.

“Selain itu, liputan perkhidmatan LTE (rangkaian mudah alih 4G) juga mencapai 48 peratus di kawasan berpenduduk dan akan terus diperluas dari semasa ke semasa,”katanya.

Salleh juga berkata sebanyak 103 Pusat Internet 1Malaysia yang telah siap di Sabah akan turut mendapat manfaat daripada SKR1M, sekali gus memberi kemudahan rakyat tempatan untuk menikmati agenda pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan.

BERNAMA

Kategori
Borneo