REMAJA MATI LEMAS JATUH PERAHU DI TEBINGAN DALAT

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya

DALAT: Luluh hati seorang bapa apabila anak kesayangan tiba-tiba hilang nyawa sekelip mata. Namun meraung dan meratap pasti tidak mampu menghidupkan kembali yang telah tiada.

Itulah yang berlaku pada petang semalam apabila seorang remaja berusia 13 tahun ditemui lemas selepas terjatuh dari perahu, tempatnya bermain.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, insiden berlaku di Tebingan Dalat ketika mangsa, Bryan Lim Jing Ming dan beberapa rakannya bermain di atas perahu yang ditambat di situ.

Mangsa bagaimanapun tiba-tiba jatuh dan tidak timbul lagi selepas itu.

“Pihak Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dalat sekitar jam 4.17 petang dan ambulans EMRS dengan tiga anggota dikejarkan ke lokasi sebelum tiba lebih setengah jam kemudian.

“Sekitar jam 5.38 petang, mangsa telah dijumpai oleh penduduk kampung yang turut bersama-sama pasukan penyelamat dalam melakukan operasi pencarian.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo