PEMBALAK HARAM HANYUT BALAK WAKTU MALAM DI BATANG RAJANG, UNDANG BAHAYA!

Taktik ini sering digunakan di Sungai Batang Rajang yang merupakan sungai terpanjang di Malaysia, yang mengalir ke kawasan pedalaman bahagian tengah Sarawak.

KUCHING: Operasi penguatkuasaan bersepadu dijalankan pelbagai agensi menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berjaya membantut kegiatan pembalakan haram di Sarawak secara keseluruhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, pembalak haram turut menukar modus operandi dengan cara mendatangkan bahaya kepada pengguna sungai yang lain, antaranya menghanyutkan balak di sungai pada waktu malam, kemudian mengangkutnya ke kilang.

Taktik ini sering digunakan di Sungai Batang Rajang yang merupakan sungai terpanjang di Malaysia, yang mengalir ke kawasan pedalaman bahagian tengah Sarawak.

Komander ACP Salehuddin Mat Zaman dari Polis Marin Wilayah Lima (PPM W5) Sarawak mendedahkan taktik licik pembalak haram tersebut kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan PPM W5 di Kuching.

Memetik laporan Bernama pada Selasa, Salehuddin berkata antara Januari-Julai 2017, PPM W5 Sarawak mengendalikan 492 kes berkaitan saman dan tangkapan membabitkan kegiatan pembalakan haram di negeri ini.

Meskipun statistik berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 299 kes dalam tempoh sama 2016, nilai rampasan 2017 menurun kepada RM10.66 juta berbanding RM15.89 juta pada 2016.

Salehuddin menyeru orang ramai menghubungi markas PPM W5 di talian 082-334111 sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pembalakan haram di Sarawak. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo