MEMBAWA ORANG ULU MAJU SEIRING ARUS EKONOMI DIGITAL SARAWAK – ABANG JO

produk hasil pertanian dapat dihantar keluar dengan memanfaat ekonomi digital atau mengeksportnya melalui e-dagang.

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg bersungguh-sungguh mahu Orang Ulu maju seiring arus pembangunan dengan menguasai teknologi digital serta memanfaat ekonomi digital.

Beliau percaya, masa depan Orang Ulu lebih cerah, jika semakin ramai generasinya celik teknologi komputer dan internet serta terdedahan dengan kepelbagaian teknologi digital.

Bercakap pada Majlis Makan Malam anjuran Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di hotel terkemuka, Abang Johari memandang jauh potensi memajukan kawasan tanah tinggi masyarakat Orang Ulu ini.

Menurut beliau, produk hasil pertanian dapat dihantar keluar dengan memanfaat ekonomi digital atau mengeksportnya melalui e-dagang.

Dengan penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (RECODA), hasrat ini dapat direalisasikan termasuk mempromosi kawasan tanah tinggi sebagai destinasi pelancongan menarik.

Abang Johari menyifatkan FORUM berfungsi sebagai platform terbaik membolehkan kerajaan mengenal pasti dan membangun kawasan termasuk dataran tinggi.

Pada majlis tersebut, Abang Johari berharap masyarakat Orang Ulu terus bersatu.

Beliau melahirkan rasa bangga kerana inisiatif FORUM berjaya menggabungkan sembilan persatuan etnik Orang Ulu di Sarawak.

Abang Johari mengumumkan turut meluluskan permohonan tanah lima ekar di bandar raya Miri bagi membina bangunan FORUM selain sedia menyumbang peruntukan RM250,000 kepada FORUM untuk membiayai aktiviti tahunan. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo