MEMBANGUNKAN TAPAK INDUSTRI BARU DI SIBU DEMI PESATKAN SEKTOR NIAGA WILAYAH TENGAH SARAWAK

Sibu mempunyai dua kawasan perindustrian iaitu Kawasan Perindustrian Upper Lanang dan Kawasan Perindustrian Pembinaan Kapal Rantau Panjang yang kini dikembangkan potensinya

SIBU: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur mengenal pasti tanah seluas 40 hektar bagi mewujudkan kawasan baharu perindustrian di Sibu.

Kawasan industri baharu ini diyakini berupaya memesatkan komuniti perniagaan khususnya di sektor Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) di kawasan tengah Sarawak.

Bercakap selepas menutup Seminar Pembangunan Usahawan dan Industri di Sibu Awang Tengah berkata, pengambilan tanah dijalankan secara berperingkat.

Sementara, dalam ucapan beliau sebelum itu, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Negeri berkata kerajaan negeri meluluskan RM10.5 juta untuk menaik taraf prasarana kawasan industri Rantau Panjang.

Sibu mempunyai dua kawasan perindustrian iaitu Kawasan Perindustrian Upper Lanang dan Kawasan Perindustrian Pembinaan Kapal Rantau Panjang yang kini dikembangkan potensinya.

 Awang Tengah turut mendedahkan, sebanyak 42 daripada 68 limbungan kapal di Sarawak terletak di Sibu.

Kemudahan limbungan ini berupaya membina kapal sokongan luar pesisir, tongkang, baj serta bot penumpang yang sedia bertaraf antarabangsa sehingga dieksport ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, serta Timur Tengah dan Afrika.

Pada 2016, Sarawak mengeksport kapal, bot dan binaan terapung bernilai AS$29 juta (RM121.8 juta) berbanding AS$28 juta (RM117.6 juta) pada 2015. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo