LEBIH 300 GURU HADIR ‘BERGURU’ DI IPTAR KOTA SAMARAHAN

Kesemua warga pendidik berkenaan terlibat bagi menyertai Bengkel Pedagogi Abad 21 Guru-Guru Sekolah HiPeRS Yayasan Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Seramai lebih 300 warga pendidik dari sekolah rendah, menengah dan pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPTAR) berkampung selama empat hari di IPTAR Kota Samarahan sejak semalam (Isnin).

Kesemua warga pendidik berkenaan terlibat bagi menyertai Bengkel Pedagogi Abad 21 Guru-Guru Sekolah HiPeRS Yayasan Sarawak.Program tersebut anjuran Pusat Kecemerlangan Kemahiran Berfikir (PKKB) IPTAR dengan kerjasama Yayasan Sarawak dan hanya akan berakhir pada petang Rabu.

Sepanjang program setiap sesi dikendalikan secara bergilir-gilir oleh Shbini Saini, Tini Numpang, Dr. Radiman Junaidi, Dr. Narahan Raduan, Dorene Frances Tnay Tan Ping, Jamil Mohammad, Ernest Thanly Pinus, James Nesserd Robert, Lina Temenggong, Khoo Chee Meng, dan Saibi Lehi.

Jurucakap Program, Zurhana Muhammad yang juga merupakan Ketua Jabatan Matematik IPTAR memberitahu, sepanjang berlangsung program peserta dilibatkan dengan sesi bengkel dan perkongsian idea berkaitan Pendidikan Alaf Ke- 21 (PAK21).

“Setiap hari program berlangsung bermula jam 8 pagi dan hanya berakhir jam 10 malam.

“Jadual program agak padat kerana tempoh masa yang terhad. Pihak kami berharap semua peserta akan memperoleh ilmu tambahan sebagai panduan yang sangat berguna untuk berdepan cabaran semasa dunia pendidikan pada masa kini, ” ujarnya. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo