KKM Beri Tempoh Sehingga 31 Januari 2018 Dapatkan Lesen Mesin Jual Air (MJA)

Pejabat Kesihatan Bahagian akan menghubungi semua pengendali MJA atau wakil bagi tujuan bimbingan permohonan lesen MJA secara on-line dan pembangunan Manual Kawalan Keselamatan Mesin Jual Air

KUCHING – Kesemua pengendali Mesin Jual Air (MJA) yang beroperasi di Sarawak diminta untuk mengemukakan permohonan lesen secara atas talian dengan mengunakan pautan http://fosimdomestic.moh.gov.my bermula April 2017.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Jamilah binti Hashim berkata ini selaras dengan prosedur permohonan oleh Ibu Pejabat Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (IPBKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ketika ini terdapat sebanyak 508 MJA telah dikesan beroperasi di seluruh Sarawak.

“Bermula hari ini, 10 Julai semua Pejabat Kesihatan Bahagian akan menghubungi semua pengendali MJA atau wakil bagi tujuan bimbingan permohonan lesen MJA secara on-line dan pembangunan Manual Kawalan Keselamatan Mesin Jual Air.

“Oleh itu, semua Pejabat Kesihatan Bahagian/Daerah akan mengendalikan bimbingan atau bengkel permohonan lesen MJA secara on-line selewat-lewatnya sebelum atau pada 31 Julai 2017 sekiranya belum berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Menurut Dr. Jamilah lagi, pihak berkuasa akan melakukan persampelan air dari MJA selepas proses permohonan lesen atas talian dilakukan.

“Selepas proses permohonan lesen atas talian dilaksanakan, pihak berkuasa akan melakukan persampelan air dari MJA bagi memastikan kepatuhan kepada Jadual ke 25 Standard Air Minuman Berbungkus dan Air Dari Mesin Jual Air (Jadual A) Akta Makanan 1983 sebelum meneruskan proses kelulusan pelesenan.

“Semua pengendali MJA atau wakil boleh diambil tindakan perundangan sekiranya gagal mematuhi peruntukan di bawah Peraturan 360c(4), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dengan denda tidak lebih daripada RM 5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada 2 tahun,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, kesemua pengendali MJA adalah diminta mengikuti segala peraturan yang ditetapkan bagi memudahkan kelancaran perjalanan proses permohonan lesen, persampelan air atau hal-hal berkaitan.

Keterangan lanjut boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Bahagian/ Daerah terdekat dan garis panduan permohonan lesen MJA, boleh merujuk laman sesawang http://fsq.moh.gov.my.

Kategori
Borneo