KERAJAAN PUSAT AKAN BANTU SARAWAK BANGUNKAN TELEKOMUNIKASI

Kita perlu membina infrastruktur terlebih dahulu, satelit, menara telekomunikasi dan sebagainya

Kerajaan Pusat akan memastikan dasar ekonomi digital yang dibangunkan di Sarawak dapat direalisasikan dengan membantu kerajaan negeri membangunkan infrastruktur telekomunikasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Memetik laporan Utusan Borneo, Joseph berkata, disebabkan kawasan di Sarawak yang begitu luas, sudah tentu pembangunan dasar ekonomi digital mengambil jangka masa yang lama.

“Kita perlu membina infrastruktur terlebih dahulu, satelit, menara telekomunikasi dan sebagainya.

“Sarawak masih belum mencapai tahap itu dari segi infrastruktur dan semua tahu kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg amat memfokus kepada penyediaan infrastruktur-infrastruktur berkaitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, dengan adanya dua agensi telekomunikasi negeri iaitu Sacofa Sdn Bhd dan SAINS menyebabkan kerajaan pusat tidak boleh sewenang-wenangnya membangunkan infrastruktur di Sarawak dengan sendirinya.

“Kita (kerajaan pusat) tidak boleh dengan begitu sahaja terlibat dan melakukannya sendiri kerana ia melibatkan beberapa isu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Saya difahamkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjalinkan usaha sama dengan kerajaan negeri untuk tujuan itu, cuma saya tidak tahu ia setakat mana sebab ia bukan di bawah kementerian saya,” jelasnya. – Sarawakiana

Kategori
Borneo