KERAJAAN NEGERI LULUS RM1BILION MULAKAN PROJEK BINA SEMULA DAN BAIK PULIH SEKOLAH DAIF LUAR BANDAR SARAWAK — ABANG JO

Kita mencadangkan agar Kerajaan Negeri membiayai dahulu projek ini menggunakan dana yang dipohon daripada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS)

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengesahkan bahawa pentadbirannya memperuntukkan dana sejumlah RM1 bilion untuk membina semula dan menaik taraf prasarana sekolah-sekolah luar bandar di negeri ini.

Katanya, persetujuan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Sibu pada Rabu.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Menteri Pendidikan Persekutuan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Sarawak, Datuk Sri Michael Manyin.

“Disebabkan Kerajaan Pusat tidak cukup dana, kita mencadangkan agar Kerajaan Negeri membiayai dahulu projek ini menggunakan dana yang dipohon daripada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS).

 “Selepas itu, Kerajaan Pusat akan membayar kembali kepada DBOS, beserta dengan faedah, ” jelasnya ketika berucap merasmikan Program Digital Kenyalang Sarawak di Pusat Konvensyen Penview di sini semalam.

Timbalan Perdana Menteri memaklumkan di Sibu semalam, daripada 1,454 buah sekolah di Sarawak , sejumlah 1,020 daripadanya berada dalam tiga kategori daif.

Sebanyak 415 sekolah berada dalam senarai sekolah daif kategori 3 atau terlalu teruk, sekolah daif kategori 2 (210 sekolah) dan sekolah daif kategori 1 (395 sekolah).

Kerajaan Negeri sebelum ini menyatakan komitmen untuk meluluskan pembinaan 100 sekolah dalam tempoh 365 hari bagi menyelesaikan segera isu-isu sekolah daif dan sekolah “terjun sungai” ini. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo