JAMBATAN EMAS BERBENTUK S KINI DIKENALI SEBAGAI JAMBATAN DARUL HANA

Tepat jam 11 malam 11 minit dan 11 saat malam tadi, 11 November 2017, satu lagi mercu tanda, iaitu sebuah jambatan ikonik dirasmikan di bandar raya Kuching dengan pertunjukkan bunga api berirama yang memukau

KUCHING: Tepat jam 11 malam 11 minit dan 11 saat malam tadi, 11 November 2017, satu lagi mercu tanda, iaitu sebuah jambatan ikonik dirasmikan di bandar raya Kuching dengan pertunjukkan bunga api berirama yang memukau.

Jambatan emas berbentuk S itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan kini dikenali dengan nama baharu, Jambatan Darul Hana.

Tun Abdul Taib dalam ucapannya, yakin jambatan ini akan melonjak nama Kuching dan menyerlahkan perwatakannya sebagai bandar raya yang mesra.

“Buat pertama kalinya, bandar raya Kuching utara dan selatan dicantumkan dan menyerlahkan keindahan kedua-dua tebing dari tengah sungai.

“Ia mengimbas pengalaman pertama saya menaiki sampan ke seberang sungai, pengalaman pertama berhari raya di Kampung Lintang, apabila saya terlibat dalam tradisi berlanggar meja,” tambahnya.

Tanpa jambatan ini, kata Tun Abdul Taib lagi, Kuching tidak akan lengkap.

“Ia sentiasa di hati semasa kami masih dalam kabinet.

“Tidak mudah untuk membinanya. Justeru saya berterima kasih kepada mereka yang menyumbang kepada pembangunan dan menjayakan konsep ini.

Dibina sebagai jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Kuching Utara dan Kuching Selatan, reka bentuk yang diperoleh dalam satu pertandingan, memiliki elemen tradisi dan moden, termasuk dua tiang yang mempunyai simbol burung kenyalang.

Jambatan sepanjang 335 meter ini yang berteraskan dua tiang dan kabel dibina menyeberangi Sungai Sarawak sepanjang 200 meter.

Kerana itu ia seolah berbentuk “S” bagi memudahkan aktiviti perkapalan, selain menggambarkan Sarawak dan sungai

Pelengkap kepada Tebingan Kuching ini mula dibina pada tahun 2013 dengan kos keseluruhan RM35 juta.

Tanggungjawab pelaksanaan projek ini diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) manakala kontraktor pembinaannya dilaksanakan secara konsortium oleh PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd dan Naim Land Sdn Bhd.

Reka bentuknya yang lengkap dengan dua ruang tinjau pula merupakan cetusan ilham KTA (Sarawak) Sdn Bhd dengan sentuhan akhir, dilengkapi sistem pencahayaan LED.

Sistem ini adalah ilham Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahukan jambatan ini berwarna-warni dan diingati.

Ia adalah penyeri terbaharu untuk tebingan Sungai Sarawak selepas Tebingan Kuching dan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo