ISU PEMBANGUNAN DIJELASKAN: MUSA

Mereka seolah-olah tidak mahu menerima apa yang kita(kerajaan negeri) jelaskan dan membuat andaian yang benar-benar boleh dikatakan sebagai fitnah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah menjelaskan semua isuyang dibangkitkan pembangkang, khususnya berhubung usahapembangunan untuk rakyat dan negeri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Bagaimanapun, beliau kesal tindakan segelintir pembangkang yang memutarbelitkan fakta setelah kerajaan menerangkan secara jelas dan terperinci mengenai sesuatu perkara yang dibangkitkan.

“Mereka (pembangkang) seolah-olah tidak mahu menerima apa yang kita(kerajaan negeri) jelaskan dan membuat andaian yang benar-benar boleh dikatakan sebagai fitnah atau (berdasarkan) khabar angin.

“Jadi, ini (perangai) yang tidak ‘gentleman’. Kita (kerajaan negeri) tidak menyembunyikan apa-apa, jadi, mereka (pembangkang) tidak perlu risau,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini kelmarin.

Musa berkata kerajaan negeri telah memaklumkan dewan mengenai pelbagai program pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk di luar bandar.

Antaranya ialah program perhutanan semula, program Mini Estet Sejahtera (Mesej) dan industri pelancongan yang semakin rancak menerima pelancong, khususnya dari luar negara.

“Semua ini membuktikan kita sebagai kerajaan negeri telah menjalankan kerja sebaik yang boleh,” kata Musa.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengadakan program turun padang di seluruh negeri, yang mana pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan juga turut sama untuk mengetahui masalah dihadapi di semua daerah di negeri ini.

“Kalau boleh, kita juga (mahu) menyelesaikan masalah serta merta semasa turun padang.

Inilah cara kita supaya sentiasa mendekati rakyat, khususnya yang tinggal di luar bandar,” katanya.

Secara keseluruhan, Musa berpuas hati dengan perjalanan persidangan DUN kali ini dan menyerahkan kepada pihak pembangkang sama ada mahu menerima penjelasan yang diberikan oleh kerajaan negeri atau tidak.

“Yang penting, rakyat menilai yang kerajaan telah membuat kerja. Kita sudah berusaha memastikan pembangunan berjalan lancar di Sabah,” katanya. – Bernama

Kategori
Borneo