HANYA SEPULUH LESEN BURU BUAYA DI POHON DI SEBALIK POPULASI BUAYA SEMAKIN MELONJAK DI SARAWAK – SAFUAN

Buaya bukanlah haiwan yang boleh kita perlekehkan. Habitatnya membiak cukup pantas, dan dapat menetas 88 biji telur setiap seekor

KUCHING: Hanya sepuluh lesen untuk memburu dan menternak buaya telah dikeluarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak sejak kebenaran memburu buaya untuk tujuan komersial diberikan lampu hijau pada tahun lalu.

Pengarahnya, Sapuan Ahmad berkata, jumlah ini agak kecil, dipercayai kerana budaya dan adat masyarakat tempatan yang taboo memburu reptilia tersebut.

Pada Oktober lalu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam permohonannya kepada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Berhubung

Flora dan Fauna Yang Diancam Kepupusan (Cites) berjaya menurunkan taraf buaya atau nama saintifiknya ‘Crododylus Porosus’ daripada Apendiks I kepada Apendiks II pada 1 Oktober lalu, di Johannesburg, Afrika Selatan.

Alasannya, kerana populasi haiwan ini tidak lagi terancam, sebaliknya membiak secara luar biasa.

Kata Sapuan lagi, daripada 10 lesen tersebut, kebanyakannya adalah di kawasan Batang Lupar, yang menjadi perumah utama habitat buaya di negeri ini.

Biarpun tidak dapat memberi maklumat terkini berhubung jumlah buaya di negeri ini, beliau mengakui jumlahnya semakin meningkat.

“Di kawasan Kuching Wetlands, kalau pada tahun 2008 hanya terdapat 300 ekor buaya, kini jumlahnya meningkat kepada 800 ekor, atau lebih 2 ekor per kilometer.

“Ini belum survei di tempat lain,” katanya yang ditemui selepas menghadiri forum wilayah yang bertajuk “Inovasi, Inklusif dan Impak: Memperkukuh dan mempelbagaikan penyaluran dana untuk kawasan terlindung” anjuran Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) di Hotel Hilton di sini pagi ini.

Sapuan menjelaskan, berikutan populasi buaya yang meningkat ini, pihaknya menasihati orang ramai tidak turun ke sungai jika tidak berkeperluan.

“Buaya bukanlah haiwan yang boleh kita perlekehkan.

“Habitatnya membiak cukup pantas, dan dapat menetas 88 biji telur setiap seekor.

Dengan pembiakan yang pantas, ditambah kekurangan sumber makanan, kita dapati ia kini berani memasuki kawasan yang dihuni manusia, jelasnya.

Setakat ini katanya lagi, pemburuan buaya di negeri ini adalah untuk mendapatkan daging, dan bukan kulit.

“Ini kerana kulit buaya yang tua tidak laris, kecuali yang berusia tiga tahun ke bawah.” – Sarawakvoice

Kategori
Borneo