BERTERUSAN SOKONG USAHA JABU MEMARTABATKAN BAHASA IBAN DI SEKOLAH — UGGAH

Seminar juga perlu menilai dan membincangkan keperluan memastikan masyarakat Iban tidak ketinggalan dalam pembangunan pendidikan dan ekonomi semasa

SIBU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa semua pihak terus menyokong inisiatif bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang memartabatkan bahasa Iban sebagai subjek penting diajar di sekolah menengah.

Bagi Uggah memartabatkan bahasa Iban dapat menjadikan subjek tersebut dipelajari oleh bangsa lain selain Iban.

Uggah merasmikan Seminar Budaya Iban Siri 2 anjuran bersama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Persatuan Pembangunan Pendidikan Bahasa Iban (AEDIL) dengan kerjasama Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) di Sibu.

Bercakap di hadapan Jabu yang juga Penasihat Penyelidikan Sains Negeri, Uggah memuji usaha Jabu selama ini yang bermatlamat memastikan bahasa Iban dipelihara untuk generasi muda selari sebagai memelihara budaya masyarakat Iban.

 Memetik laporan Utusan Borneo pada Khamis, Uggah yang juga Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menjamin kerajaan sedia membincang dan menyelesaikan masalah berkaitan isu warga pendidik seperti latihan, buku rujukan dan bilangan guru serta merujuk dengan pihak berkaitan.

Uggah berharap seminar ini dapat membincangkan isu membangunkan bahasa Iban dalam era ekonomi digital kini.

Beliau berharap seminar juga perlu menilai dan membincangkan keperluan memastikan masyarakat Iban tidak ketinggalan dalam pembangunan pendidikan dan ekonomi semasa. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo