ABDULLAH SUMBANG RM20 RIBU BENTERAS GEJALA DADAH DI BINTAGOR DAN BRUIT

Sumbangan ini bertujuan untuk mengadakan aktiviti atau program dalam usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Sarikei ini

BINTANGOR – Dalam usaha membanteras gejala dadah yang semakin membimbangkan di kalangan belia dan rakyat di Sarikei sebanyak RM20,000 telah disumbangkan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah bin Saidol.

Menurut Abdullah, sumbangan ini digunakan untuk mengadakan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti mengadakan ceramah dan taklimat mengenai bahayanya dadah dan tanggungjawab masyarakat dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.

“Sumbangan sebanyak RM10,000 untuk kawasan Bintangor dan RM10,000 lagi untuk kawasan Bruit adalah bertujuan mengadakan aktiviti atau program dalam usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Sarikei ini,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2017 di Dewan Perdana SK. Abang Amin di sini, Sabtu lepas.

Terdahulu, Pengerusi Pengelola Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2017 Samsawi bin Mohamad berkata isu penggunaan dadah di kalangan belia Kampung Bintangor semakin hari semakin membimbangkan.

“Dalam menangani isu ini, peranan ibu bapa perlu dipertingkatkan dengan mengambil tahu setiap pergerakan anak-anak semasa berada di luar rumah.

“Mengharapkan wakil rakyat di sini memberikan sokongan kepada setaip sekolah di kawasan Sarikei ini dalam usaha membanteras penggunaan dadah.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berasa gembira dengan kehadiran rakyat yang diluar jangkaan sehingga ada yang terpaksa berdiri.

“Sambutan yang diterima kali ini sangat meriah dan di luar dugaan sehingga ada yang hadir terpaksa berdiri.

“Walaupun sebelum ini sebanyak 500 buah kerusi dan 10 buah meja yang dianggarkan sebanyak RM18,000 telah disumbangkan, tetapi masih tidak mencukupi.

“Melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat setempat, dicadangkan tahun depan majlis seperti ini akan diadakan di kawasan yang lebih luas seperti di Stadium Bola Keranjang dengan bekerjasama dengan Datuk Ding Kuong Hiing,” tambahnya lagi.

Abdullah turut mengumumkan sumbangan geran MRP kepada 8 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar Bintangor termasuk Lot Jambatan Merah dan Kampung Tanjung Bundong yang berjumlah RM40 ribu iaitu sebanyak RM5 ribu bagi setiap JKKK.

Turut sama hadir, Datuk Ding Kuong Hiing, ADUN N.46 Meradong serta isteri, Pegawai Daerah Meradong Harun bin Mahdi, Setiausaha Majlis Daerah Meradong Wan Mahmad bin Wan Madihi, Pengerusi Pengelola Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2017 Kampung Bintangor Samsawi bin Mohamad, Haji Pemanca Suhaili bin Bujang dan Timbalan Ketua Cawangan PBB N.46 Meradong Morsili bin Bakar.

Kategori
Borneo