ABANG JOHARI PERJELAS RASIONAL DI SEBALIK BAYANGAN PENGGANTINYA SEBAGAI KETUA MENTERI

Tiba masanya saya akan menyerahkan baton ini kepada pengganti. Kerana itu, saya perlu mempersedia beliau.

MIRI: Di sebalik bayangan tentang peralihan kuasa kepada pemimpin baharu untuk menggantikannya, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam menjelaskan, ia bertujuan mempersedia pemimpin pelapis untuk masa depan Sarawak yang lebih maju.

Dengan penglibatan lebih 36 tahun dalam politik negeri termasuk enam bulan sebagai Ketua Menteri, pemimpin berusia 66 tahun itu menegaskan beliau tidak akan berada di tampuk kuasa selama-lamanya.

“Tiba masanya saya akan menyerahkan baton ini kepada pengganti. Kerana itu, saya perlu mempersedia beliau.

Katanya, beliau dan pimpinan tertinggi negeri percaya bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan sebuah institusi dan fakulti kepimpinan.

“Maknanya, parti itu sendiri, dengan dasar yang terbuka dan matang, sentiasa mengasah bakat baharu dalam kepimpinan.

“Ia juga memberikan latihan yang secukupnya kepada ahli-ahli dan para pemimpinnya yang mempunyai potensi untuk berkembang.

Beliau dan pimpinan negeri yang lain di Sarawak dan Pusat pada hari ini katanya, lahir daripada budaya kepimpinan tersebut.

“Pemimpin terdahulu, khususnya Tun Pehin Sri (Abdul Taib Mahmud) sentiasa memberikan pendedahan dan latihan yang baik kepada kami.

“Sebagai pemimpin politik Sarawak, kami didedahkan kepada proses kematangan politik, dan untuk setiap keputusan yang dibuat perlu mempertimbang keperluan semua kaum.

“Inilah kualiti kepimpinan yang ada di negeri ini hingga mampu mewujudkan politik yang stabil,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pemimpin parti PBB di sini semalam.

Justeru itu, kata Abang Johari lagi, beliau yakin proses ini akan berterusan, dan bagi menyediakan penggantinya, proses itu akan bermula sekarang.

“Peralihan kuasa ini kelak akan melibatkan pemimpin generasi ketiga.

“Justeru itu, kita perlu fokus dan pastikan pemimpin berpotensi yang dipilih, adalah pemimpin yang sentiasa memiliki ilmu dan mampu berasimilasi dengan perubahan semasa.

Zaman akan berubah dengan pantas dari satu era ke satu era, katanya.

“Justeru itu, untuk kekal relevan, negeri ini memerlukan pimpinan yang selari dengan perubahan ini.

“Contohnya, hari ini saya berikan penekanan kepada ekonomi digital, sebab inilah zamannya… semua asas kehidupan bergantung kepada  teknologi.

“Justeru akar pimpinan parti hendaklah memahami ini dan mahir serta pandai dalam ekonomi digital.

Pada masa akan datang pula mungkin ada perkembangan dan keperluan dalam bentuk baharu.

“Apabila era berubah, pimpinan hendaklah berubah mengikut era tersebut.

“Kita perlu pantas mengubah diri dan membuang persepsi bahawa yang tua agak kaku ketika berhadapan dengan cabaran baharu.

Kerana itu katanya, proses latihan dalam parti perlu sentiasa ada dan berterusan melahirkan pemimpin pelapis yang berkualiti pada masa depan.

Berikutan pengumuman beliau sewaktu Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PBB Zon Miri semalam, tumpuan kini mula terarah kepada dua pemimpin pelapis parti itu; Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Datuk Seri Fadillah Yusuf.- SARAWAKVOICE

Kategori
Borneo