ABANG JOHARI : JUMLAH PELANCONG KE SARAWAK DIJANGKA MENINGKAT

Pada tahun lalu, jumlah pelancong luar ke negeri ini ialah 4.6 juta, dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sebelum ini dilaporkan optimis dapat mencapai sasaran 5 juta pelancong luar pada tahun ini

KUCHING: Pembangunan sektor pelancongan di negeri ini dijangka semakin rancak ekoran usaha kerajaan menambah dan menaik taraf prasarana, serta pertambahan penerbangan terus dari luar negara.

Terbaharu misalnya, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  ialah penerbangan terus dari Kuching-Shenzhen, sementara syarikat penerbangan tambang murah Scoot turut memperkenalkan laluan baharu Singapura-Kuching.

“Ini tentu akan merancakkan lagi pembangunan pelancongan,” katanya ketika menyempurnakan upacara menitik mata pada perahu untuk Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa dan Pelancaran Festival Kraf Sarawak sempena Festival Tebingan Kuching-Regata Sarawak 2017 di Tebingan Kuching di sini, semalam.

Pada tahun lalu, jumlah pelancong luar ke negeri ini ialah 4.6 juta, dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sebelum ini dilaporkan optimis dapat mencapai sasaran 5 juta pelancong luar pada tahun ini.

Selain itu, kata Abang Johari, promosi pelancongan yang teratur turut menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini.

MasWings  akan menghentikan penerbangan di enam laluan di Sabah dan Sarawak pada tahun depan bagi memberi laluan kepada sistem penerbangan komersial.

Laluan berkenaan ialah Kota Kinabalu-Sandakan, Kota Kinabalu-Tawau, Kota Kinabalu-Miri, Kuching-Miri, Kuching-Kota Kinabalu, dan Kuching-Sibu. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo